Soalan:

Doktor, saya ada mendengar tentang terapi seks untuk lelaki yang bermasalah dengan kesihatan seksual mereka. Malangnya saya tidak pernah mengetahui tentangnya. Bolehkah doktor menerangkan serba-sedikit tentang terapi seks.  

Jawapan:

Istilah terapi seks itu biasa digunakan untuk merawat masalah disfungsi seksual lelaki atau perempuan. Jadi, ia amat luas dan tertakluk kepada masalah seksual yang dialami individu itu. Jika anda mendapati yang anda ada masalah seksual atau ingin tahu sama ada anda ada masalah seksual ataupun tidak, rujuklah kepada mana-mana pakar yang berkaitan. Secara amnya, semua doktor mampu mengendalikan masalah seksual mengikut kemahiran dan pengalaman mereka. Jika mereka mendapati kaedah atau rawatan yang diberi tidak berkesan atau kurang memberi manfaat yang diinginkan pelanggan, mereka boleh rujukkan pelanggan tersebut kepada pakar yang lebih spesifik.

Anda perlulah berterus terang kepada doktor yang anda temui itu jika ingin  masalah tersebut dikendalikan dengan baik. Kebanyakan pesakit malu untuk berterus terang dan ada yang tidak mahu mengaku apabila ditanya oleh doktor. Terutamanya bagi pesakit yang dirujuk oleh isteri untuk berjumpa doktor. Dalam keadaan demikian masalah sebenar tak dapat dikesan dan mungkin rawatan yang diberikan salah.

Kini, terapi seksual ada pelbagai pendekatan. Ia termasuklah kaunseling atau bimbingan dan tunjuk ajar, pemeriksaan kesihatan untuk mengesan gejala penyakit yang mengakibatkan masalah seksual tersebut, rawatan dengan ubat dan pemberian peralatan tertentu untuk pemulihan dan rawatan masalah seksual yang berkaitan.

Anda tidak perlu mendapatkan rawatan kuno yang boleh memudaratkan seperti urutan, makan jamu dan majun kerana kaedah tersebut boleh merosakkan hati dan buah pinggang. Berbekam pula boleh mendedahkan anda kepada risiko jangkitan dan darah beku. Suntikan minyak cendana atau minyak bunga untuk membesarkan alat kelamin boleh memudaratkan kesihatan. Oleh itu, anda dinasihatkan agar mendapatkan rawatan moden yang berkualiti, mujarab dan lebih selamat.