S : Anak saya baru berumur lapan bulan tetapi dia seorang yang aktif dan lasak. Dia suka bermain dan menutup mukanya dengan kain atau bantal. Ada kalanya dia akan melilit badannya dengan kain tersebut. Ini membuatkan saya dan keluarga amat risau jika ingin meninggalkan dia bermain sendirian. Adakah tabiat ini akan kekal dalam dirinya dan bagaimana cara untuk mengajar dia supaya dia tahu kesan daripada sikap itu.

Leen
Jitra, Kedah

J :
Anak-anak yang baru mengenal dunia sekelilingnya memang begitu. Mereka tidak tahu ia betul atau salah. Mereka tidak tahu perbuatannya itu akan membahayakan diri mereka sendiri. Mereka hanya tahu berseronok dengan ‘permainan’ baru. Bagi kanak-kanak, segala perkara atau penemuan baru adalah permainan baru. Bagi orang dewasa tentunya kita akan bimbang kerana perbuatan melilit badan atau kepala dengan kain boleh memudaratkan. Banyak kes kanak-kanak tercekik dengan tali permainan, terjatuh ke dalam tong, besen atau baldi di bilik air. Sebenarnya kita perlu berwaspada dalam memantau pergerakan anak-anak. Anak-anak adalah amanah dan tanggungjawab kita. Sesuatu yang berlaku kepada mereka sebenarnya atas kecuaian kita. Kita bukan tidak boleh melarangnya daripada bermain dengan melilit badan dengan kain. Tetapi anak-anak tidak faham dengan larangan itu. Mungkin mereka boleh faham perkataan ‘jangan’ tetapi tidak faham mengapa tidak boleh.

Selagi mereka tidak mendapat kesan buruk, mereka akan terus melakukannya. Justeru, apa yang ibu bapa perlu lakukan apabila mendapat anak-anak yang sangat cerdik seperti ini adalah memastikan tiada kain atau tali atau apa sahaja yang boleh dijadikan permainan untuk anak-anak kita lilitkan di badan atau kepala. Pastikan barang-barang tersebut tidak boleh dicapai oleh mereka. Jika ia tidak ada di depan mata tentunya mereka tidak akan mencari. Tidak mengapa menyorokkan bantal. Gunakan apabila diperlukan. Kadangkala kita suka meletakkan bantal untuk perhiasan di sofa. Tetapi jika perlakuan anak-anak tidak boleh dikawal maka berkorbankan seketika untuk menyimpan bantal-bantal itu sehingga anak sudah faham kesan dan akibat sesuatu perkara itu.