S : Apa yang saya tahu, jika isteri menolak ajakan suami untuk membuat hubungan seks, maka malaikat akan melaknat isteri sehingga subuh. Akan tetapi bagaimana pula sebaliknya jika suami yang menolak ajakan isteri untuk membuat hubungan seks, adakah suami akan dilaknat oleh malaikat juga? Tolong jelaskan apa yang mengganggu diri saya.

Syieda
Puchong, Selangor

J :
Hadis-hadis Rasulullah dalam persoalan ini hanya menyentuh kepentingan isteri memenuhi ajakan suami untuk membuat hubungan seks dan ancaman kepada isteri yang enggan. Setahu saya, tiada hadis yang menyentuh kepentingan suami memenuhi ajakan isteri untuk membuat hubungan seks dan ancaman kepada suami yang enggan. Ini berlaku kerana lazimnya suami yang memiliki daya keinginan seks yang tinggi manakala isteri pula sibuk dengan urusan lain sehingga tidak memerhatikan keinginan seks suami.

Pun begitu, ini tidaklah bererti suami boleh mengabaikan ajakan isteri kerana dari sudut hukum agama, isteri memiliki hak yang sama dengan kewajipannya. Oleh itu jika isteri berkewajipan memenuhi ajakan suami, suami juga berkewajipan memenuhi hak atau ajakan isteri untuk melakukan hubungan seks. Semua ini berdasarkan firman Allah: Dan para wanita (isteri) mempunyai hak yang seimbang dengan kewajibannya menurut cara yang ma’ruf. [al-Baqarah 2:228]

Merujuk kepada persoalan ini, saya lebih cenderung untuk berfikir kenapa suami enggan memenuhi ajakan isteri berbanding kenapa tiada hadis-hadis yang mengancam suami yang enggan. Apabila suami enggan, maka sebabnya boleh dibahagikan kepada dua faktor: Faktor luaran dan dalaman.

Faktor luaran ialah tekanan hidup, kesibukan kerja, himpitan ekonomi atau apa-apa lain yang memenuhi fikirannya. Faktor-faktor luaran ini menyebabkan suami kerap kali tidak berminat untuk melayani ajakan isteri, bahkan suami sendiri tidak mengajak isterinya melakukan hubungan seks.

Faktor dalaman ialah penampilan isteri, kehadiran anak-anak dalam bilik yang sama dan cuaca yang panas. Semua ini menyebabkan suami tidak selesa untuk menerima ajakan isteri.
Justeru yang sepatutnya difikirkan oleh isteri ialah bagaimana untuk memahami faktor luaran dan mengubah faktor dalaman. Semua ini akan dapat membantu suami menerima ajakan isteri untuk melakukan hubungan seks.