S : Kini saya hamil anak kedua. Saya berazam mahu menyusukannya selama yang boleh. Apa panduan untuk saya ikuti sepanjang hamil, awal kelahiran dan selepas tempoh enam bulan melahirkan?

Nadia, Setapak, Kuala Lumpur

J :
Penyusuan susu ibu adalah proses yang perlu dipelajari oleh ibu dan bayi juga. Persediaan penyusuan susu ibu yang paling penting ialah mendapatkan sebanyak mungkin ilmu sepanjang kehamilan ini. Berikut adalah panduan yang dapat membantu anda dalam menyusukan bayi.
1. Hadiri kelas persediaan penyusuan susu ibu atau kelas antenatal yang menyentuh tentang isu penyusuan susu ibu secara menyeluruh.
2. Mulakan penyusuan susu ibu sejurus selepas bayi dilahirkan, sebaik-baiknya dalam tempoh 1 jam. Kolostrum yang ada dalam beberapa hari pertama kaya dengan protein dan bahan lain yang dapat menghalang jangkitan kepada bayi.
3. Cuba posisi yang berlainan ketika menyusu. Elakkan bersandar kepada bayi. Sebaliknya, duduk dan halakan bayi ke paras payu dara. Gunakan bantal untuk sokongan. Pastikan juga bayi melekap dengan baik.
4. Menyusu mengikut permintaan berdasarkan isyarat kelaparan bayi (baby’s cues) tanpa sekatan. Perhatikan isyarat itu: Mulut bayi buka tutup (mouthing), rooting, meletakkan tangan di mulut dan menangis. Apa-apa pun, jangan tunggu sehingga dia menangis. Adalah penting untuk bayi disusukan mengikut permintaannya.
5. Pastikan payu dara dikosongkan sebaik mungkin setiap kali sesi penyusuan untuk memastikan proses penghasilan susu berjalan lancar. Lebih kerap payu dara dikosongkan (dengan efektif), lebih banyak susu akan dihasilkan!
6. Dapatkan penilaian teknik penyusuan anda daripada pihak profesional terlatih dalam tempoh 24 jam hingga 48 jam pertama selepas kelahiran. Sebaik-baiknya dapatkan panduan daripada perunding laktasi.
7. Susukan bayi sehingga dia puas. Kandungan lemak dalam susu ibu meningkat sewaktu sesi penghisapan. Biarkan bayi selesaikan penyusuan sebelum menawarkan payu dara yang sebelah lagi.
8. Elakkan puting kosong.
9. Menyusu secara eksklusif sepanjang enam bulan pertama. Penyusuan susu ibu ideal untuk pertumbuhan dan perkembangan bayi anda.
10. Jangan beri suplemen (air, air glukos, susu formula, makanan bayi dan lain-lain) kepada bayi.
11. Pemakanan memainkan peranan penting dalam kesejahteraan dan kesihatan ANDA. Apabila anda sihat, bayi pun sihat juga. Diet yang berasaskan empat kumpulan asas adalah disarankan. Walau bagaimanapun, makanan yang anda ambil tidak akan memberi kesan kepada susu tetapi pada tahap kesihatan. Jadi, jaga diri anda.
12. Jika berkerjaya, pastikan anda membuatkan persediaan yang perlu.