S : Saya disahkan hamil setelah setahun lebih berkahwin. Itupun selepas saya mengambil pil subur. Bagaimana cara untuk saya hamil lagi memandangkan saya dan suami sudah berumur. Adakah saya patut mengambil pil subur sekali lagi?

Zie
Kuantan, Pahang

J :
Cara untuk hamil sekali lagi terpulang kepada tahap kesuburan puan. Bagi seseorang wanita, tahap kesuburan bergantung kepada:
1. Umur. Jika umur melebihi 35 tahun, kesuburan akan mula berkurangan. Pil subur seperti clomiphene citrate boleh membantu.
2. Kesihatan organ peranakan wanita. Jika puan mempunyai masalah seperti fibroid, endometriosis atau pelvic inflammatory disease, ini akan mempengaruhi organ rahim, saluran fallopio dan ovari. Oleh itu, puan memerlukan pemeriksaan daripada doktor pakar sakit puan bagi menangani masalah-masalah di atas. Peluang hamil setelah berumur
3. Penyakit am. Contohnya seperti darah tinggi dan kencing manis. Pesakit-pesakit darah tinggi dan kencing manis didapati sukar hamil. Pesakit kencing manis dikatakan mempunyai libido yang berkurangan. Pesakit darah tinggi yang bergantung kepada ubat beta-blockers juga mengalami masalah libido ini. Oleh itu, peluang untuk hamil turut berkurangan.
4. Masalah hormon. Tahap kesuburan juga dipengaruhi oleh masalah hormon yang tidak seimbang seperti PCOS (polycyctic ovarian syndrome) dan hypothyroidism. Jika mengalami masalah ini, puan mestilah merawat masalah yang ada dahulu sebelum hamil.

Sekiranya puan dan suami bebas daripada apa-apa masalah, puan bolehlah merancang untuk kehamilan seterusnya. Saya ingin sarankan supaya puan :
1. Mengambil pil folik asid 5mg setiap hari sehingga puan hamil di mana usia kehamilan adalah tiga bulan.
2. Mencatat hari-hari kitaran haid di atas kalender. (Hari 1 ialah hari pertama turunnya darah haid. Hari 2 ialah hari kedua turunnya darah haid dan seterusnya.) Pada hari ke-10, puan bolehlah memulakan pemeriksaan kesuburan menggunakan ovulation kit.

Penggunaan ovulation kit. bertujuan mengenal pasti hari subur bagi pihak isteri. Caranya ialah dengan memeriksa air kencing pada hari ke-10, ke-11, ke-12, ke-13, ke-14 dan ke-15.

Setiap pemeriksaan perlu dilakukan pada jam 2 petang. Jika ujian air kencing itu positif, puan hendaklah mengadakan hubungan seksual dengan suami 36 jam kemudiannya. Jika sudah mencuba selama tiga hingga enam bulan tetapi masih belum hamil lagi, puan bolehlah mendapatkan rawatan lanjutan daripada doktor pakar pula.