S : Anak lelaki saya berumur tiga tahun. Dia seorang anak yang baik dan tidak nakal tetapi suka menangis. Boleh dikatakan setiap hari dia akan menangis. Jika keinginannya tidak dilayan, pasti dia akan menangis dan menjerit sekuat hati. Jika keluar bersiar-siar pun sama, apa sahaja yang dilihat pasti ingin dibeli. Jika tidak dapat, dia akan menangis. Mungkin salah kami kerana terbiasa memenuhi keinginannya supaya dia berhenti menangis. Saya selalu menasihatkan dia supaya bersabar untuk mendapatkan sesuatu tetapi dia tetap menangis.

Akhirnya saya sendiri hilang sabar dan marah serta memukulnya. Kini saya sedang mengandung anak ke dua. Saya tidak mahu anak dalam kandungan menjadi anak yang panas baran pula ekoran sikap saya ini.

Nor
Semabok, Melaka

J :
Orang tua-tua kata kalau anak mula meragam dan berperangai pelik akan menerima adik baru. Mungkin sikapnya yang selalu menangis disebabkan kehadiran orang baru. Memang biasanya kalau kita sudah hilang sabar tangan hinggap ke badan dan muka. Namun, apa-apa pun memang itulah jawapannya, bersabar. Selain itu, dalam ilustrasi cerita puan saya percaya puan telah memberi ‘reinforcement’ kepada anak. Ia bermaksud memberi galakan kepada anak-anak untuk menangis apabila mahukan sesuatu.

Anak puan telah “belajar” bahawa ...”dengan menangis tanpa henti maka saya akan mendapat apa yang saya mahukan. Walaupun saya kena pukul tapi akhirnya saya akan dapat jugak”. Menurut teori ‘Operant conditioning’, anak-anak belajar dari kesan atau akibat perbuatannya. Justeru, walaupun kita merasakan ia adalah hukuman, tetapi anak-anak telah mempelajarinya sebagai satu alasan untuk mencapai cita-cita. Dalam teori ‘operant conditioning’ itu sendiri ada mengatakan, hukuman boleh menjadi satu rangsangan kepada anak-anak untuk melakukan perkara yang tidak baik. Jadi, dalam hal ini, puan boleh gunakan tangisan sebagai satu pelajaran untuk anak. Puan boleh buat penawaran seperti ini “Kalau adik nangis tanpa henti mama memang tak belikan apa yang adik nak.” Jadi, setiap kali dia menangis jangan hiraukan.

Puan perlu kuat dan tabah kerana puan akan mudah kalah dengan esak tangisnya. Tapi sekiranya puan kalah, lain kali memang ia tidak menjadi. Cuba dulu sehingga ia berjaya. Pelajaranya di sini adalah apabila tidak menangis baru anak puan dapat apa yang diingini. Lama-kelamaan anak puan akan belajar bahawa kalau dia menangis dia tidak akan mendapat apa yang dia mahukan.