S : Saya menggunakan IUCD sejak anak berusia enam bulan (haid pertama selepas bersalin). Haid saya teratur setiap bulan tetapi masuk bulan ke enam haid jadi tidak normal. Biasanya haid datang pada 26hb tetapi 9hb datang haid untuk dua hari sahaja, dan 29hb datang haid normal untuk sembilan hari. Selang seminggu haid datang lagi untuk 2-3 hari. Selepas itu keputihan berwarna coklat seperti tanda-tanda awal haid tetapi haid tidak keluar dan selang dua hari keputihan coklat keluar lagi. Masalah saya, tiap kali keputihan coklat keluar, saya tidak solat kerana beranggapan ia haid tapi tekaan saya itu salah. Tetapi saya tetap mandi hadas dan bersolat. Bolehkah saya anggap keputihan coklat itu sebagai biasa, lalu solat seperti biasa kerana darah haid tidak keluar? Adakah solat saya sah atau saya perlu mandi hadas tiap kali keluar keputihan?

Keliru
Pulau Pinang


J :
Menggunakan IUCD atau apa-apa lain bentuk perancangan keluarga lazimnya akan mengganggu putaran haid dan ini seterusnya menyebabkan penggunanya sering keliru berkenaan hukum solat, mandi hadas dan bersetubuh dengan suami. Oleh itu saya tidak mengesyorkan apa-apa bentuk perancangan keluarga melainkan kondom. [Lihat Pa&Ma edisi November 2011]

Cairan keputihan coklat yang keluar selepas haid terbahagi kepada dua jenis. Pertama ialah cairan putih-coklat yang menyusuli darah haid. Ia keluar pada akhir putaran haid apabila darah haid baru hendak mengering atau berkurangan. Cairan putih-coklat ini masih dikategorikan sebagai darah haid, justeru tidak boleh solat dan bersetubuh dengan suami sehingga cairan itu berwarna putih sahaja.

Para wanita pada zaman Rasulullah pernah mengirimkan sebuah kotak kepada A’isyah (isteri Rasulullah) di mana dalam kotak tersebut terdapat kapas yang telah bercampur dengan cairan kuning-coklat dari darah haid mereka. Mereka bertanya adakah masa haid sudah berakhir dan bagaimana dengan hukum solat? Maka A’isyah berkata kepada mereka: “Jangan terburu-buru hingga kalian melihat cairan putih (white discharge)”, maksudnya sudah suci dari haid. [Muwattha’ Imam Malik, no: 117]

Kedua ialah cairan kuning atau coklat yang keluar selepas putaran haid selesai sepenuhnya. Iaitu cairan kuning atau coklat itu keluar selepas darah haid berhenti sepenuhnya atau selepas cairan putih-coklat di akhir putaran haid menjadi cairan putih sahaja. Maka cairan kuning atau coklat ini tidak lagi dikategorikan sebagai darah haid. Umm Athiyyah menerangkan : “Kami (para wanita pada zaman Rasulullah) tidak menganggap cairan yang keruh atau kekuning-kuningan setelah suci dari haid sebagai apa-apa (yakni tidak dianggap sebagai darah haid).” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 307]

Merujuk kepada kes yang dihadapi oleh puan, cairan putih coklat yang keluar sejurus selepas haid termasuk dalam kategori pertama, maka tidak boleh solat dan hendaklah mandi hadas apabila cairan itu berhenti atau berwarna putih sahaja. Selang dua hari kemudian apabila cairan putih coklat keluar semula, maka ia termasuk dalam kategori kedua, maka boleh solat dan tidak perlu mandi hadas.