S : Saya mempunyai anak lelaki yang berumur 1 tahun 2 bulan. Masalahnya sekarang, dia takut hendak mandi. Sudah macam cara saya lakukan untuk membawanya mandi di kolam, sungai dan bermacam-macam lagi tempat perkelahan. Tetapi dia tetap sama. Bila tiba masa mandi sahaja, dia akan melekap di kaki saya. Bagaimana caranya saya hendak memujuk anak suka akan waktu mandi?

Syieda
Puchong, Selangor

J :
Apa yang puan boleh buat adalah mandi bersama-sama. Kalau di rumah, waktu mandinya sama dengan waktu kita ataupun selepas itu puan boleh mandi semula. Kadang-kadang anak tidak mahu mandi kerana air yang sejuk. Mungkin peralihan semasa bayi mandi dengan air suam menjadikannya terbiasa dengan air suam. Jadi apabila mandi dengan air biasa, dia terasa sejuk dan jadi ‘takut’ untuk mandi kerana air yang sejuk.

Bagus tindakan puan membawanya mandi di kolam atau sungai. Memberi pendedahan sedemikian menjadikan dia kenal alam sekeliling dan lebih teruja untuk merasainya. Memujuk budak-budak ada caranya. Mungkin ‘ketakutan’ pada air sejuk itu masih ada. Sekiranya puan membawa mandi di luar, kolam misalnya, biarkan dia melekap di kaki puan pada mula menjejakkan kaki ke dalam kolam itu. Ini kerana perasaan ‘takutnya’ itu masih ada lagi. Perlahan-lahan biar dia merasa kesejukan atau kehangatan air.

Mandi sambil bergurau senda sehingga hilang takutnya. Di dalam psikologi ia dipangil ‘sensory adaptation’ . Maknanya, kita akan menjadi biasa dengan suasana yang baru apabila beberapa kali merasainya atau apabila sudah beberapa minit melaluinya seperti apabila kita masuk rumah yang sangat sejuk. Apabila kita baru masuk ke rumah, memang terasa amat sejuk, tetapi apabila sudah berjam-jam disitu kita sudah tidak terasa lagi sejuk seperti yang kita mula masuk.