S : Anak saya disahkan bengkak hati dan limpa pada bulan November 2011 yang lalu. Disebabkan itu, perutnya agak buncit. Masalahnya sekarang, sehingga ke hari ini perutnya masih buncit walaupun doktor telah mengesahkan bahawa bengkak tersebut telah berkurangan.

Selain daripada itu, ujian LH pada darahnya menunjukkan bacaan yang tinggi. Ujian USKUB dilakukan pada awal bulan April lalu. Apakah kesannya jika hatinya masih bengkak walaupun anak saya kelihatan aktif dan sihat?

Norli
Bandar Bukit Puchong

J :
Untuk makluman puan, ada banyak sebab yang boleh menyebabkan hati dan limpa bengkak. Sebab-sebabnya mungkin berbeza bergantung kepada faktor usia dan penyakit itu sendiri. Saya percaya hospital di mana puan melakukan rawatan dan rawatan susulan telah menjalankan ujian dengan lengkap untuk mengenal pasti apakah penyebab kepada anak puan. Perut buncit pada kanak-kanak selalunya tidak mendatangkan masalah.

Kanak-kanak yang berusia dua tahun ke bawah kadang-kadang mempunyai perut yang agak buncit walaupun mereka tidak mengalami sebarang penyakit. Mengenai kesan bengkak hati kepada anak puan, sebenarnya bergantung kepada apakah penyebab bengkak tersebut.

Pada pandangan saya, jika doktor yang merawat anak puan mengatakan bahawa anak puan sudah beransur pulih, jadi mungkin tiada apa yang perlu puan risaukan.