Ketika hamil, anda mudah berasa letih. Tambahan pula, daya tahan tubuh semakin berkurangan. Ikuti ulasan lanjut, doktor pakar sakit puan dan perbidanan dari Hospital Pakar KPJ Kajang, Dr Balakrishnan Subramaniam.


Di awal usia kandungan, anda masih boleh melakukan perjalanan dalam jarak perjalanan yang jauh. Namun, tidak bagi anda yang mengalami komplikasi kehamilan seperti pendarahan, muntah yang teruk ataupun pernah mempunyai sejarah keguguran di kehamilan terdahulu.Sama juga halnya dengan anda yang hamil lebih daripada 34 minggu.

Anda tidak digalakkan berjalan jauh terutamanya perjalanan yang  mengambil masa berjam-jam untuk sampai ke destinasi yang dituju. Apatah lagi jika laluan yang digunakan tidak rata.Ketahuilah, perjalanan jarak jauh yang dilakukan pada akhir usia kandungan, mendedahkan anda kepada risiko kelahiran pramatang. Sehubungan itu, wanita hamil yang kerap melakukan perjalanan jarak jauh turut berhadapan dengan risiko yang sama.

Walau bagaimanapun, jika perjalanan jauh masih perlu diteruskan, anda  harus memberi perhatian kepada kesihatan diri sendiri. Oleh yang demikian, duduk dalam kedudukan yang betul dan selesa, jangan duduk terlalu lama, jauhi alkohol, minum air dalam jumlah yang banyak dan keraplah melakukan senaman regangan ringkas atau pergerakan kaki. Langkah sebegini amat penting untuk dititikberatkan bagi mengelakkan masalah darah beku, memperbaiki perjalanan darah, menggalakkan regangan otot yang akhirnya dapat memberikan keselesaan kepada diri anda sepanjang perjalanan.
            Sementara itu, antara perkara yang perlu diberi perhatian sebelum memulakan perjalanan jarak jauh adalah sentiasa membawa ubat yang dibekalkan oleh doktor yang memeriksa kehamilan sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan khususnya kepada anda yang mempunyai masalah kesihatan seperti asma. Anda juga dinasihatkan sentiasa membawa bersama rekod pemeriksaan kehamilan terutamanya bagi yang mempunyai kandungan bermasalah.

Namun, adalah lebih baik untuk anda mengelakkan perjalanan jarak jauh di akhir usia kehamilan. Sekiranya berlaku kelahiran pramatang, risikonya bukan sahaja kepada bayi yang dikandung, tempiasnya turut akan mengenai diri anda sendiri.

Guna kereta

Perjalanan jarak jauh yang menggunakan kereta adalah pilihan terbaik untuk anda. Dengannya, anda boleh berhenti di mana sahaja dan pada bila-bila masa yang dikehendaki. Tidak kira sama ada di tepi jalan atau di kawasan rehat lebuh raya, anda boleh mengambil kesempatan untuk berehat seketika untuk melakukan senaman regangan.

Perlu anda tahu bahawa ibu hamil mempunyai komposisi darah yang boleh mengakibatkan pembekuan darah dalam saluran vena. Keadaan ini boleh mendatangkan bahaya jika darah beku menyumbat saluran paru-paru dan mengurangkan paras oksigen dalam tubuh sehingga membahayakan nyawa. Secara tidak langsung bayi dalam kandungan juga boleh diancam mudarat yang sama.

 Naiki kenderaan awam

Seboleh-bolehnya elakkan penggunaan kenderaan awam seperti bas dan kereta api. Hal ini kerana, anda tidak berupaya untuk bergerak bebas kerana tempat duduk yang disediakan agak sempit. Kaki anda juga sentiasa terjuntai dan tidak dapat diluruskan. Keadaan sebegini tentunya kurang menyelesakan apatah lagi kebanyakan bas berhenti sekali sahaja sepanjang perjalanan bagi membolehkan para penumpang berehat.

Penerbangan melalui pesawat
Menaiki pesawat dikatakan tidak selamat bagi wanita hamil atas alasan
faktor logistik. Adalah lebih mudah untuk anda mendapatkan rawatan doktor pakar di hospital dengan menaiki kenderaan darat berbanding udara apabila berlaku hal-hal kecemasan.

Apatah lagi, kebanyakan pesawat di mana-mana jua syarikat penerbangan tidak dilengkapi dengan kelengkapan khusus untuk menyambut kelahiran bayi. Keadaan akan bertambah buruk andainya berlaku komplikasi atau kecemasan sewaktu proses kelahiran bayi semasa di udara.

Sekiranya masih perlu menaiki kapal terbang, anda mungkin memerlukan surat rujukan daripada doktor menyatakan bahawa anda dan kandungan sihat, dan sesuai untuk melalui perjalanan itu. Bagi memudahkan pergerakan, anda dinasihatkan memohon tempat duduk yang berdekatan dengan laluan dan bukannya di tepi tingkap.

Info

Ketika berada di dalam kereta, pastikan anda memakai tali keledar. Langkah ini penting untuk menyelamatkan nyawa jika berlaku kemalangan. Jangan risau mengenai isu bayi dalam kandungan dihimpit oleh tali keledar memandangkan dia dilindungi air ketuban. Air berkenaan adalah mekanisme perlindungannya.

Pakai tali keledar dengan meletakkan tali itu di bahagian perut iaitu sebawah yang mungkin. Tali di bahagian dada pula diletakkan di antara kedua-dua belah payu dara. Dalam pada itu, dinasihatkan agar anda sentiasa menukar kedudukan tali dari semasa ke semasa supaya ia memberi keselesaan berpanjangan.
 

Tip tambahan

1. Dapatkan rehat secukupnya sebelum memulakan perjalanan. Ini bagi memastikan anda cergas dan tidak mengantuk serta letih ketika dalam perjalanan.
2. Pakai pakaian dan kasut yang selesa.
3. Bawa bekalan makanan dan minuman mencukupi. Elakkan daripada mengambil minuman berkarbonat.
4. Apabila berada dalam keadaan duduk yang agak lama, letakkan bantal kecil di belakang dan cuba lunjurkan kaki. Keadaan ini boleh mengurangkan kaki menjadi bengkak dan dalam masa yang sama memperbaiki peredaran darah. Posisi ini penting bagi anda yang mengalami varicose veins.
5. Jika melakukan perjalanan jarak jauh dengan menggunakan kereta, pastikan ia berada dalam keadaan yang baik dan baru diservis.
6. Rancang perjalanan dan jangan tergesa-gesa di jalan raya. Berhenti pada bila-bila masa yang diperlukan untuk melakukan senaman regangan bagi memperbaiki peredaran darah.

(Sumber: Pa&Ma September 2012)