Soalan:

Saya pernah mengalami keguguran ketika usia janin baru mencecah tiga bulan. Manakal ukuran kandungan saya hanya 4 mm. Doktor menasihatkan saya melakukan D&C. Selepas enam bulan saya gagal hamil lagi dan mendapati saya mengalami rahim terbalik. Apakah rawatan yang perlu saya ikuti? Benarkah saya sukar hamil kerana rahim terbalik? Apakah saya masih berpeluang untuk hamil?

Kak Yong, Cheras

 

Jawapan:

Keguguran adalah fenomena yang sering berlaku di dalam dunia manusia dan haiwan. Kajian menunjukkan bahawa satu dalam setiap empat kehamilan akan berakhir dengan keguguran. Kadang kala, keguguran tersebut berlaku tanpa disedari.

Jika usia melebihi 30 tahun, puan dan suami disarankan berjumpa doktor bagi mendapatkan pemeriksaan sepenuhnya dan seterusnya mendapatkan rawatan kesuburan.

Sekiranya usia puan di bawah 30 tahun pula, cubalah untuk mengandung dalam masa enam bulan lagi. Berdasarkan fakta kajian yang pernah dijalankan, didapati lebih kurang 80% pasangan berjaya mengandung setelah mencuba dalam masa setahun.

Sehubungan itu, masalah rahim terbalik tidak lagi dikaitkan dengan kesukaran seseorang wanita untuk hamil. Malah, peluang untuk hamil tidak terjejas walaupun puan pernah mengalami keguguran.

 

Puan disarankan agar jangan lupa mengambil pil asid folik sekurang-kurangnya 400 mikrogram sehari sebelum hamil hinggalah kehamilan berusia tiga bulan. Selain daripada itu, janganlah terlalu risau.