S : Saya berusia 27 tahun dan baru mendirikan rumah tangga kira-kira 6 bulan yang lalu. Masalah saya ialah sekarang ini kemaluan saya sering gatal-gatal. Keadaannya seperti ruam. Saya akan rasa pedih pada bahagian yang kena ruam tersebut terutamanya selepas bersama. Mungkinkah saya alah kepada air mani? Saya ada menggunakan bedak untuk merawat ruam tersebut tetapi tidak berkesan. Apakah yang boleh saya lakukan?

J :
Kulit vulva atau bahagian luar anggota kelamin wanita merupakan sejenis kulit yang lembut, licin dan tidak mengandungi lapisan lemak. Geselan kepada bahagian tersebut akan membuatkan kulit itu mengalami keradangan dan berbintik seperti ruam dan ia akan rasa gatal apabila kulit tegang. Geselan yang dimaksudkan ialah hubungan seksual.

Tindakan menyapu bedak akan mengeringkan bahagian tersebut. Cara yang lebih baik ialah menggunakan krim pelembap seperti agueous cream atau skin repair cream yang akan melembutkan kulit yang tegang itu dan seterusnya menyejukkan keradangan.

Untuk pengetahuan, alahan terhadap air mani memberi tindak balas yang lebih ketara seperti bengkak dan keradangan vulva serta rasa miang atau gatal yang ketara. Jadi, berdasarkan keterangan yang diberi, tidak mungkin anda mengalami masalah alah air mani. Walau bagaimanapun, anda perlu merujuk kepada doktor untuk diperiksa.

Kini, ada banyak doktor perempuan dan anda tidak perlu rasa segan. Jika ruam anda itu ketara dan perlu diberi krim nyah radang, doktor akan memberikannya. Ubat ini akan diberi oleh doktor yang memeriksa dan hanya boleh dibeli dengan preskripsi doktor.

Jika keradangan vulva itu sudah merebak ke permukaan faraj, bermakna sudah menjadi keradangan vulva dan faraj atau vulvovaginitis. Masalah ini ada banyak punca. Salah satu daripada penyebabnya ialah jangkitan kuman dan kulat. Untuk mengesahkannya, anda perlulah berjumpa doktor. Jangan malu jika anda ada masalah ruam vulva. Cuba merawat sendiri masalah yang dihadapi boleh memburukkan keadaan.