“Dengan kecanggihan teknologi masa kini, suami menggunakan kemudahan itu untuk melayari Internet dengan menonton laman web lucah. Ini membimbangkan kerana saya beranggapan ia boleh mengganggu kehidupan seks kami.”

Nora khuatir dengan kegilaan suaminya terhadap laman web lucah. Dia takut ketagihan suaminya akan merosakkan hubungan asmara mereka kelak.

PANDANGAN KAUNSELOR :
Berdasarkan pengalaman 14 tahun dalam mengendalikan kes-kes rumah tangga, saya sempat membuat profil kes berkaitan kegemaran pasangan melayari laman web lucah atau menonton video lucah. Berdasarkan pemerhatian, mana-mana individu yang gemar melayari laman web atau menonton video lucah akan gagal memberikan kepuasan kepada pasangannya tika melakukan hubungan intim. Malah mereka juga tidak puas hati tika bersenggama secara normal kerana hanya menikmati kepuasan melalui tabiat buruk tersebut.

Kembali kepada persoalan, jelas kebimbangan anda memang mempunyai asas yang kukuh. Usah bimbang dianggap pentingkan seks kerana hakikatnya di dalam Islam, berjimak antara suami dan isteri termasuk di dalam perkara ibadat dan boleh mendatangkan pahala. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Dan pada hubungan kelamin kamu semua (bersama isteri) merupakan sedekah. Para sahabat bertanya : Ya Rasulullah! Apakah jika seseorang kami mendatangi isterinya (untuk berjimak) maka dia mendapat pahala? Rasulullah menjawab: Bagaimana pendapat kamu semua jika dia menyalurkan syahwatnya ke jalan yang haram, (sudah tentu ) dia akan mendapat dosa kerananya. Demikian juga jika dia menyalurkan di jalan yang halal, pasti dia mendapat pahala.” – hadis riwayat Muslim.

Tuntutan Batin
Realitinya, Islam tidak menafikan hak tuntutan batin isteri. Ada banyak ayat yang memberikan maksud isteri mempunyai hak yang sama dengan suami di dalam kehidupan berumah tangga. Antaranya firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Dan bergaullah kami dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.” – surah al-Nisa’ ayat 19. Ayat ini membawa pengertian yang maha luas. Gauli isteri secara baik bererti suami perlu menjaga kebajikan isteri, menjaga makan minum dan menjaga perasaannya. Gauli isteri secara baik juga membawa erti isteri perlu dilayani kehendak batin menepati selera mereka.

Saya yakin, ramai yang sedia maklum, terdapat perbezaan yang ketara antara kehendak batin suami dan isteri. Kebanyakan suami mempunyai kehendak batin yang tinggi dan selalu inginkannya dipenuhi. Berbeza dengan isteri, kehendak batin isteri boleh ditoleransi. Jika penat, sedih atau mood tidak menentu, isteri tidak mengharapkan layanan untuk kehendak batin. Biarpun mempunyai mood tertentu, kehendak batin tetap perlu dipenuhi ketika si isteri memerlukan anda berbuat demikian.

Menurut Anas bin Malik r.a, Rasulullah SAW bersabda, “Jika seseorang antara kamu melakukan hubungan kelamin dengan isterinya, dia hendaklah bersungguh-sungguh. Apabila dia hendak menyelesaikan hajatnya itu (mencapai kepuasan) sedangkan isterinya belum mencapai klimaksnya, maka janganlah dia tergesa-gesa (menamatkan persetubuhan) sehingga hajat isterinya diselesaikan. – hadis riwayat al-Suyuthi.

Hadis ini meminta agar para suami menjaga perasaan isteri ketika berjimak dan melakukannya dengan niat kedua-dua belah pihak mencapai kenikmatan. Janganlah para suami hanya memikirkan kepuasan diri sendiri tanpa memastikan isteri juga sudah mencapai klimaks.

Perkara ini amat penting dan tidak boleh dipandang ringan. Kegagalan suami memenuhi kehendak batin isteri boleh menimbulkan kesan negatif seperti isteri membenci suami, melalaikan perintah atau menolak apabila diajak untuk berjimak dan sekiranya bersetuju pun, ia tidak dilakukan dengan penuh kerelaan hati. Paling ditakuti, isteri mencari makan di luar. Kes sebegini, bukan lagi kes luar biasa. Jika dulu, kita biasa dengar nasihat kepada isteri supaya melayan suami dengan baik agar suami tidak makan luar. Sekarang ini bukan sahaja suami sebaliknya ramai juga isteri yang berani makan luar. Nauzubillah.

Malangnya, suami jarang ambil kisah sama isteri mahu atau tidak. Perlu diingat, tahap klimaks sesuatu hubungan intimasi antara suami dan isteri berbeza. Suami lebih cepat sampai ke destinasi berbanding isteri. Berapa ramai suami yang mengambil berat atau peduli tentang persoalan: Sudahkah aku memenuhi selera batin isteriku? Mungkin ada suami yang bertanya: Bagaimana nak tahu selera isteri dah dipenuhi atau belum?

Jawapannya mudah sahaja. Selesai hubungan, tanyalah isteri. Bukan sahaja suami, isteri juga perlu bertanya kepada suami, bagaimana layanan tadi. Ramai yang ambil mudah perkara ini. Selesai... sudahlah. Anda jangan lupa, kejayaaan intimasi adalah penentu kejayaan rumah tangga. Di sinilah pentingnya komunikasi. Bagaimana? Bersenda gurau sebelum intimasi dan mengambil berat kepuasan pasangan selepas intimasi adalah antara bentuk komunikasi yang perlu dipraktikkan.

Bantu Suami
Paling penting anda, sama ada suami atau isteri perlu bersikap terbuka. Berbincanglah dengan pasangan untuk menjadikan hubungan intimasi sesuatu yang indah. Jangan jadikan intimasi sebagai satu alasan untuk anda keluar daripada gerbang perkahwinan.

Namun, jika masalah intimasi boleh mengganggu emosi, jangan makan luar tetapi cari penyelesaian terbaik. Islam meletakkan jalan keluar bagi perkahwinan yang menghadapi masalah seperti ini.

Seperti dalam kes ini, anda perlu bantu suami untuk tinggalkan tabiat buruknya. Selami hati suami dan fahami sebab dia gemar melayari laman web lucah. Ada lelaki yang rasa puas walau sekadar menonton aksi lucah kerana kegagalan isteri beraksi menepati kehendaknya di ranjang. Lantas, usahakan untuk beraksi lebih hebat. Seks juga ada ilmunya yang tersendiri. Ada pelbagai cara yang boleh dilakukan oleh suami isteri agar anda dan pasangan betul-betul menikmati hubungan tersebut. Yang penting, berlandaskan syarak.

Anda juga boleh menghalang suami daripada menonton laman web lucah. Caranya, jika tahu suami melayarinya, cepat-cepat mencelah dengan godaan hingga dia terpaut dan mengalihkan perhatian daripada laman web lucah kepada anda. Tidak pandai? Jangan mengaku kalah. Setiap wanita diberikan kuasa ajaib untuk menggoda suami. Bergantung kepada anda untuk menggoda suami semahunya. Dia suami anda, bukan lelaki ajnabi yang haram ke atas anda. Lantas godalah semahunya. Boleh mulakan godaan dengan pakaian yang boleh merangsang nafsunya, kemudian mainkan jari-jemari di tubuhnya, sentuh dengan lembut dan berahi berserta rayuan. Pasti suami terpanggil.

Suami luang masa layari internet lewat malam? Masa bukan penghalang. Jika anda benar-benar ingin suami kembali ke pangkuan sepenuhnya, anda perlu berkorban. Jika ada bayi atau anak kecil yang perlu ditidurkan terlebih dahulu, tidurkanlah dahulu tetapi pastikan anda kunci jam untuk bangun semula bagi melayan suami. Dalam masa yang sama, jangan lupa solat dan doa. Pastikan suami anda turut solat dan doa. Solat yang dijaga akan menghindarkan dirinya daripada terlibat dengan maksiat sedemikian. Usahakan berserta doa dan tawakal kepada-Nya, suami berpeluang berubah watak. Insya-ALLAH.