S : Saya ibu kepada dua orang anak lelaki. Saya pasti demam setiap bulan akibat bengkak susu di payu dara kanan. Adakah ini terjadi kerana saluran tersumbat atau sempit?

Nor Shaiza
Nibong Tebal, Pulau Pinang

J :
Untuk pengetahuan puan, sekiranya ibu yang mengalami bengkak susu berserta demam, masalah ini dikenali sebagai mastitis. Ia merupakan radang payu dara yang mungkin disebabkan oleh halangan tertentu di saluran susu, jangkitan dan/atau alahan. Mastitis biasa berlaku di minggu kedua hingga ketiga selepas kelahiran tetapi ia juga boleh berlaku pada bila-bila masa sepanjang sesi penyusuan berlangsung. Mastitis boleh menyerang secara tiba-tiba dan biasanya hanya pada sebelah payu dara.

Simptomnya sama seperti saluran tersumbat tetapi kesakitan/ kepanasan/ bengkak yang dialami lazimnya lebih menyakitkan. Berkemungkinan juga jalur-jalur merah di permukaan kulit payu dara yang terlibat akan kelihatan. Simptom mastitis yang lain termasuklah demam (38.5°C) atau lebih, menggigil, sakit seperti selesema dan sering berasa tidak selesa. Ada pelbagai punca mengapa ia berlaku antaranya

1. Milk stasis (punca utama)
Milk stasis terjadi apabila bengkak susu dialami atau payu dara tidak dikosongkan dengan sebaik-baiknya. Ini berpunca daripada hisapan bayi yang kurang efektif, masalah lekapan, masalah anatomi pada lidah bayi seperti tongue-tie, saluran tersumbat, masalah pada bahagian puting (sakit, saluran tersumbat), penghasilan susu yang terlalu banyak dan lain-lain.

Antara lain penyusuan tidak kerap atau terlepas sesi penyusuan. Hal ini mungkin berpunca daripada puting yang sakit, ibu terlalu sibuk, bayi tidur terlalu lama, penggunaan puting kosong dan sebagainya. Ia juga boleh berlaku kerana bengkak yang berpunca daripada kecederaan, jangkitan atau alahan. Sama juga halnya dengan tekanan pada saluran susu. Hal ini terjadi apabila anda memakai coli atau baju yang terlalu ketat, suka tidur meniarap, kerap menggunakan beg galas yang memberi tekanan pada bahagian dada dan lain-lain.

2. Jangkitan
Puting luka, merekah dan berdarah boleh memberi risiko jangkitan. Masalah mastitis pernah berlaku sebelum ini dan tidak dirawat dengan baik menyebabkannya ia berulang.

3. Tekanan
Keadaan ibu yang tertekan, kepenatan atau mempunyai sistem ketahanan lemah. Apa pun sebabnya, teruskan penyusuan ibu dengan kerap tanpa halangan kerana ini akan mengurangkan risiko masalah saluran tersumbat. Panduan berikut mungkin dapat membantu anda mengelakkan saluran susu tersumbat :

1. Elakkan memakai coli atau baju yang ketat mahupun korset.
2. Minum dengan lebih banyak. Dehidrasi boleh menyebabkan saluran susu tersumbat yang akhirnya menjadi mastitis.
3. Pastikan anda mendapat rehat mencukupi. Keletihan sering kali dikaitkan dengan permasalahan ini.
4. Jika menggunakan pam payu dara, pastikan anda konsisten dengan kekerapan dan tempoh penggunaannya setiap hari. Jika sesi pengepaman sebelumnya, anda kerap mengepam tetapi di sesi berikut mengurangkannya, ia akan meninggalkan susu lebihan di dalam payu dara dan boleh menyebabkannya tersumbat.

Saiz corong pam yang tidak sesuai juga boleh menyebabkan masalah saluran duktus tersumbat.

Ingat, susukan bayi dengan kerap di payu dara bermasalah merupakan langkah paling penting dalam mengatasi masalah yang dialami. Kebanyakan saluran susu tersumbat akan hilang dengan sendiri tanpa memerlukan rawatan. Memandangkan saluran susu tersumbat boleh menyebabkan mastitis, dapatkan pemeriksaan daripada doktor jika anda mengalami demam atau tidak menunjukkan sebarang perubahan selepas mengamalkan panduan yang diberikan.

Sementara itu, jika anda mengalami saluran susu tersumbat lebih daripada sekali, dapatkan pemeriksaan doktor dan pakar laktasi. Kedua-dua pihak ini akan menyelidik sejarah anda dan memberi beberapa cadangan untuk mengelakkan masalah yang sama berulang.