Bonus

Warna Sesuai Untuk Bilik Anak

Tahukah anda warna yang dipilih untuk bilik anak membantunya merangsang keupayaan minda dalam menjalani kehidupan seharian lebih selesa ketika berehat, bermain, belajar mahupun tidur. Warna adalah elemen paling beremosi dan mendesak dalam mana-mana suasana dekorasi. Bagaimanapun tugas memilih warna boleh menjadi perkara menyeronokkan dan mudah jika kena gayanya.

Anak-anak lebih banyak menghabiskan masa mereka di dalam bilik tidur berbanding ruang tamu, ruang makan dan bilik mandi. Justeru ibu bapa perlu peka terhadap warna yang dipilih untuk menjadi latar dinding kamar tidur si anak. Anak-anak cenderung memberikan reaksi positif terhadap warna cerah seperti merah jambu, biru atau merah. Mereka juga cenderung bereaksi negatif terhadap warna-warna gelap seperti coklat, hitam atau kelabu.

Oleh itu ibu bapa disarankan menggunakan warna-warna cerah kerana ia dapat merangsang kreativiti, menguatkan daya imaginasi, memberi semangat, mempengaruhi rasa estetika dan menguatkan rangsangan motor.

Kesan Warna Universal
Merah : Dinamik, bersemangat, merangsang, aktif, kuat, hangat, agresif.
Tetapi bila terlalu banyak warna ini dapat menimbulkan kemarahan, tekanan, ketidaksabaran, ugutan, dendam dan suasana kelam kabut.

Sebaiknya, jangan digunakan untuk bilik bayi (di bawah usia setahun).

Kuning : Warna yang susah ditangkap mata, ceria, hangat, dan bertenaga.
Bagaimanapun warna ini kurang sesuai untuk bilik tidur anak kerana terlalu terang akan menyebabkan silau dan sukar untuk beristirehat.

Biru : Warna yang paling nyaman untuk mata, menenangkan, aman, menerima, sabar.
Terlalu banyak warna biru dipercayai dapat menyebabkan rasa dingin dan membuat anak jadi pasif. Jika ingin menggunakan warna biru, pilih yang warnanya tidak terlalu pucat sehingga tak terasa kesan ‘dinginnya’.

Hijau : Rileks, sepi, semula jadi, menenangkan dan kelihatan pemalu.
Jika terlalu banyak hijau, ia akan menjadikan anak seorang yang malas. Untuk mengurangkan kesan negatifnya, hijau perlu digabungkan dengan merah atau oren.

Oren : Percaya diri, ramah, penuh keceriaan.
Pemilihan warna oren di bilik tidur membuatkan anak selalu terjaga, sebaiknya ia harus dikombinasikan dengan warna lain. Jika terlalu banyak oren, boleh menjadikan ruangan terlalu gelap sehingga memerlukan banyak cahaya perlu masuk.

Ungu : Boleh meningkatkan imaginasi anak dan kreativiti.
Tapi terlalu banyak terdedah pada warna ungu juga boleh membuat mood anak terganggu dan menyebabkan anak terlalu ingin berkuasa.

Lilac : Menyentuh spiritual.
Jangan gunakan rona lilac di bilik tidur anak lelaki kerana boleh membangkitkan sifat feminin. Untuk mengelakkan rasa hambar, padukan ia dengan warna hitam atau perak.

Warna Feminin vs Maskulin
Biasanya bilik tidur anak perempuan lebih sesuai dengan pilihan warna lembut seperti merah jambu, hijau muda, ungu lembut kerana ia memberikan impak feminin dan lemah lembut.

Sementara untuk anak lelaki pula, pemilihan warna biru, kelabu, hijau sesuai dengan karakter mereka selain menyenangkan mata orang lain yang memandang.

Warna Untuk Anak Hiperaktif
Oleh kerana anak hiperaktif bermasalah untuk memberi tumpuan pada sesuatu perkara maka terapi warna adalah salah satu cara mengatasinya.

Bilik untuk mereka sesuai dicat dengan warna-warna sejuk atau dingin seperti biru muda, hijau, ungu.

Warna Untuk Anak Autisme
Jika anak anda menghadapi masalah autisme, psikologi warna yang boleh menstimulasi mereka adalah warna-warna hangat atau panas seperti oren, kuning dan merah.

LAMAN UTAMA
@Grup Digital Karangkraf