Ibu bapa zaman dahulu menggunakan rotan sebagai satu cara mendisiplinkan anak-anak. Tetapi kebanyakan ibu bapa moden kurang percaya kuasa rotan sebagai satu cara mendidik anak-anak.

 

Memukul atau merotan adalah hukuman fizikal. Ia dikenakan bertujuan menghentikan perbuatan nakal si anak dan hukuman atas kesalahan yang dilakukan.

 

Walaupun kini ramai yang kurang bersetuju merotan anak tetapi hakikatnya masih ada situasi tertentu ibu bapa perlu merotan anak sebagai hukuman.

 

Terutamanya dalam perkara membabitkan hukum syari’ah. Dalam solat misalnya, Nabi Muhamad saw pernah berpesan supaya mengajar anak bersolat ketika berusia tujuh tahun dan merotan(memukul) anak yang tidak bersolat ketika mereka berusia 10 tahun.

 

Adakah selamat merotan anak?

 

Sebelum mengenakan hukuman ini, ibu bapa wajar memahami dan mengenali perwatakan dan sikap anak-anak. Ibu bapa juga perlu mengambil kira tahap hubungan mereka dengan anak-anak.

 

Sekiranya anak-anak mempunyai hubungan yang rapat dengan ibu bapa, maka hukuman fizikal tidak akan menjejaskan emosi anak-anak. Sebaliknya jika ibu bapa tidak begitu rapat dengan anak-anak, hukuman fizikal mungkin akan mengakibatkan emosi anak-anak terganggu seperti menyimpan dendam, marah dan sebagainya.

 

Ibu bapa perlu meneliti, sama ada hukuman fizikal itu dilakukan secara spontan atau terancang. Hukuman fizikal yang terancang bermakna ibu bapa mempunyai peraturan yang tertentu misalnya anak-anak wajib menunaikan solat lima waktu, andainya anak-anak tidak mengikut peraturan tersebut maka mereka dikenakan hukuman fizikal.

 

Pastikan anak-anak memahami peraturan dan tahu akibat daripada kedegilan, mereka akan menerima hukuman fizikal. Di sini, anak-anak diberi pilihan sama ada mengikut peraturan atau menerima hukuman.

 

Manakala hukuman fizikal secara spontan pula ialah yang berlawanan dengan hukuman fizikal terancang, tidak ada peraturan yang dibuat, jika anak buat perangai sahaja, ibu bapa terus mengenakan hukuman fizikal.

 

Pantang anak buat silap, pasti kena hukum. Cara ini akan membuatkan anak-anak kerap mengulangi kerenah yang sama.

 

Setiap kali mengenakan hukuman fizikal, pastikan kita memberi penerangan kepada anak-anak kenapa mereka dipukul dan sebagainya. Beritahu mereka tentang kelakuan tersebut yang tidak dapat kita terima. Buat peraturan tentang perkara itu dan beritahu anak-anak, mereka akan menerima hukuman yang sama setiap kali mereka berkelakuan begitu.

 

Pastikan juga anda bukan dalam keadaan marah ketika hukuman fizikal dilakukan. Orang yang sedang marah tidak dapat mengawal emosi dengan baik. Ditakuti kemarahan tersebut dilepaskan kepada anak-anak dan boleh menyebabkan kepada tahap penderaan. Sekiranya hati sedang panas, eloklah elakkan diri daripada anak-anak sehingga kemarahan reda.

 

Ibu bapa seharusnya tahu bagaimana cara merotan yang selamat dan tidak mendatangkan kecederaan kepada anak-anak. Merotan anak-anak di tempat yang kurang sensitif seperti tapak tangan.

 

Jangan sesekali memukul di bahagian muka atau di tempat-tempat yang boleh mendatangkan bahaya seperti di kepala atau perut. Pukulan yang diberikan jangan terlalu kuat, cukup sekadar dapat memberi pengajaran kepada anak-anak agar tidak mengulangi kesalahan yang sama.

 

Walaupun begitu, sekiranya ibu bapa mempunyai cara yang lebih efektif, elakkan dari mengenakan hukuman fizikal terhadap anak-anak.