Apabila disebut perkataan ‘belajar’ apa yang terbayang di minda kita? Mungkin ada di antara kita membayangkan seorang kanak-kanak yang sedang menulis atau membaca buku dengan senyap, sambil duduk di atas kerusi dengan sepenuh perhatian. Makna belajar atau learning dalam istilah psikologi yang sebenarnya ialah ‘sebarang perubahan tingkahl aku yang kekal, kesan daripada pengalaman yang dilalui oleh seseorang’. Ini bermakna, anak kita masih belum belajar tentang solat walaupun telah menghafal kesemua 13 rukun solat, tetapi tidak melakukannya secara tetap. Seorang pelajar yang mendapat gred A dalam mata pelajaran Pendidikan Islam tetapi jarang menunaikan solat juga belum tentu lengkap proses pembelajarannya.

Pembelajaran Melalui Pengalaman
Proses pembelajaran yang sebenar mestilah melalui pengalaman. Anak-anak hendaklah diberikan peluang untuk merasai, menghayati serta mengalami sendiri pengalaman-pengalaman pembelajaran supaya pembelajaran mereka menjadi lebih ‘bermakna’. Dari mana mereka akan mendapat pembelajaran bermakna ini? Di sinilah datangnya kepentingan ‘bermain’ di zaman kanak-kanak.

Ya, sebagai guru dan ibubapa, ‘belajar’ dan ‘bermain’ seolah-olah dua kata yang sangat berbeza. Kita selalu merasa berbangga apabila orang di sekeliling berkata, “amboi, rajinnya anak kamu belajar…” tapi marah dan geram pada anak kita bila orang berkata “ish, anak kamu ni asyik bermain sahaja..!”

Bacalah kisah nabi Ibrahim ketika mencari tuhan. Beliau memerhatikan bulan, matahari dan bintang untuk mencari jawapannya. Jika kita mengkaji pula kisah Newton yang berjaya menemui konsep graviti, beliau sedang berehat di bawah sepohon epal.

Begitu juga Archemedes yang terjerit-jerit perkataan ‘Eureka’ ketika menemui konsep ketumpatan bahan, beliau sedang mandi di dalam kolam rumahnya. Kesemua penemuan-penemuan hebat ini tidak terjadi secara formal atau sewaktu mereka bergelumang dengan buku-buku atau menghafal kesemua ayat-ayatnya.

Tetapi kesemua situasi penemuan ini berlaku di sekitar alam ciptaan Allah yang penuh dengan benda-benda maujud! Proses bermain sesuai dengan saranan Saidina Umar Al-Khattab yang masyhur tentang mendidik anak iaitu “bermainlah dengan anak kamu selama tujuh tahun, umur tujuh ke14 tahun masa untuk mendisiplinkan anak dan apabila berusia 14 ke21 tahun, berkawanlah dengan mereka”.

Contohnya, untuk mempelajari konsep solat, berilah pengalaman kepada mereka. Bawa mereka solat di masjid, solat berjemaah di rumah, solat jamak bersama apabila bercuti di luar negeri, solat di tepian sungai apabila berkelah dan pelbagai lagi pengalaman-pengalaman menarik yang boleh diciptakan untuk membangunkan jiwa hamba mereka.

Memang akan ada kanak-kanak yang bermain ketika solat, tetapi jika kita faham bahawa bermain itu adalah ‘belajar’ bagi kanak-kanak, mungkin kita akan lebih terbuka dengan sikap mereka. Ada riwayat yang menceritakan bagaimana Hasan dan Husin naik ke atas bahu Rasulullah ketika baginda sedang sujud dalam solat tetapi baginda terus sahaja menyempurnakan solatnya dengan berhati-hati serta memanjangkan masa sujud kerana bimbang takut mereka terjatuh.

Tidak perlu dimarahi anak-anak sekiranya mereka gagal menghafal bacaan di dalam solat. Kerana pembelajaran yang sebenarnya terjadi apabila tingkah laku anak kita suka mendirikan solat, rasa gembira apabila berjaya menyempurnakan solat atau menunaikan solat secara sukarela.

Begitu juga dengan ibadah-ibadah yang lain, kanak-kanak akan lebih mendalami kemanisan berpuasa, membaca Quran, bersedekah atau berdoa apabila pembelajaran awal mereka tidak formal dan dalam suasana yang lebih santai.