senam

Jom Senam Anak-Anak

Masalah obesiti di kalangan kanak-kanak pada masa kini semakin meningkat. Dikatakan peratus kegemukan kanak-kanak semakin meningkat dari tahun ke tahun. Sebagai ibu bapa tentu kita risau dengan situasi tersebut.

Pelbagai faktor dikaitkan dengan kegemukan di kalangan kanak-kanak seperti gaya hidup dan pemakanan tidak terkawal. Namun memang lumrah kebanyakan kita suka melihat anak-anak kecil yang montel kerana nampak comel.

Tetapi janganlah dibiarkan kemontelan itu berterusan sehingga mereka dewasa kerana berisiko mendapat pelbagai masalah kesihatan selain faktor rasa rendah diri akibat kegemukan.

Oleh itu, ajarlah anak-anak anda bersenam dan beriadah. Jadikan amalan berekreasi bersama keluarga satu rutin yang penting. Sedikit sebanyak ia membantu anak-anak mengeluarkan peluh selain daripada menjadikan badan mereka cergas dan sihat.

Berikut beberapa panduan untuk mendidik kanak kanak bersenam dan mengamalkan gaya hidup sihat:

* Ajar anak konsep bersenam, keperluan dan kepentingannya. Ia adalah untuk sihat seperti mengeluarkan peluh dan ajar anak pentingnya menjaga kesihatan.

* Ibu bapa perlu menunjukkan contoh yang baik dengan mengamalkan gaya hidup sihat.

* Lakukan senaman sekurang-kurangnya tiga kali seminggu selama 20 minit dan lakukan bersama anak-anak.

* Disiplinkan anak-anak mengikut jadual untuk menonton televisyen, bermain permainan video dan beriadah supaya mereka tidak hanya terperap di dalam rumah sahaja.

* Jika tidak keluar rumah untuk beriadah, mungkin anda boleh reka permainan dalam rumah yang boleh membuatkan mereka aktif bergerak. Sekurang-kurangnya mereka dapat juga mengeluarkan peluh.

* Beli basikal untuk anak anda dan setiap petang keluar bersama menjalankan aktiviti berbasikal. Jika tidak, anda boleh menemani mereka berbasikal di taman.

* Tetapkan waktu petang pada hujung minggu sebagai hari bersukan. Bawa mereka ke padang permainan, padang bola atau di sekitar rumah supaya mereka dapat aktif bermain bersama kawan-kawan sebaya.

* Kurangkan memberi makanan ringan atau jika boleh, jangan ajar anak anda memakan makanan ringan sejak kecil lagi.

* Didik anak kepentingan memakan sayur-sayuran dan buah buahan untuk kesihatan tubuh badan. Jangan terlalu mengikut selera anak apabila mereka tidak menyukai makanan tertentu seperti sayur-sayuran dan buah-buahan. Anda perlu kreatif dan mencuba pelbagai cara supaya anak anda dapat menerima makanan tersebut.

* Untuk lebih menyeronokkan, tubuhkan satu komuniti ibu bapa yang mempunyai anak dan buat aktiviti bersukan atau beriadah. Ibu bapa juga boleh turut serta dalam menjalankan aktiviti bersenam.

LAMAN UTAMA
@Grup Digital Karangkraf