Anda minat bercuti di tepi pantai? Mandi air laut yang biru mendamaikan pasti mengasyikkan. Malaysia memang mewah dengan kawasan peranginan tepi pantai yang indah dan menenangkan. Jika anda ingin bawa keluarga menikmati kawasan laut di sebelah pantai timur Semenanjung Malaysia, apa kata anda ke negeri Pahang. Ini kerana di situ banyak tempat percutian tepi pantai yang menarik untuk dikunjungi.

Telok Chempedak
Sesampainya di bandar Kuantan, lokasi tepi pantai paling dekat boleh dikunjungi ialah Telok Chempedak. Terletak hanya 5 km daripada pusat bandar, ia merupakan lokasi berkelah yang mengasyikkan. Selain daripada berkelah, pusat peranginan tepi pantai ini sesuai untuk mereka yang ingin rasa cabaran sukan air. Antara aktiviti yang ada ialah “water skiing”, meluncur dan melayari kapal layar.  Kepada anda yang mempunyai anak kecil, buatlah aktiviti sendiri seperti membina istana pasir, sukaneka, memancing dan sebagainya.

Pantai Sepat
Pantai Sepat yang terletak hanya 10 km di selatan Kuantan tidak kurang sesuai untuk aktiviti berkhemah selain daripada berkelah. Persekitarannya yang dikelilingi oleh perkampungan tradisi membolehkan kanak-kanak melihat cara hidup masyarakat nelayan.

Pantai Beserah
Terletak hanya 8 km dari pusat bandar Kuantan membuatkan lokasi ini tidak sukar dicari. Uniknya pantai ini ialah kewujudan kerbau di persisiran pantainya.  Kerbau-kerbau tersebut digunakan untuk mengangkut hasil tangkapan nelayan daripada bot-bot ke darat.

Pantai Cherating
Satu lagi lokasi pantai peranginan yang cukup terkenal di negeri Pahang. Pantainya yang bersih menyejukkan mata memandang. Laut yang luas dan deruan ombak yang lembut benar-benar menggamit para pengunjung untuk menikmati kesegaran airnya.
Perjalanan daripada bandaraya Kuala Lumpur ke Cherating jika berkereta akan mengambil masa lebih kurang 4 jam. Banyak pilihan tempat penginapan menarik kerana banyak aktiviti boleh dilakukan bersama keluarga.