Kali pertama mendapat anak kembar, mereka teruja tetapi bila masuk kali kedua mengetahui hamil anak kembar, mereka terkejut dan tidak percaya.

Kelahiran anak kedua pada tahun 2003 sebagai pasangan anak kembar tidak seiras berlainan jantina disambut penuh kesyukuran seisi keluarga Siti Rahayu Ali, 34 dan Kamarudin Mahmood, 35.

Pasangan yang berasal dari negeri yang terkenal dengan keropok lekor iaitu Terengganu ini mewarisi genetik kembar daripada keluarga sebelah ibu Siti Rahayu.

Menurut ibu yang mengasuh sendiri anak-anaknya ini, dia merupakan orang kedua yang mewarisi kelahiran kembar daripada pakcik saudaranya sebelah ibu.

Kini dia meneruskan warisan tersebut dalam kehamilannya kali ketiga. Dia yang lebih mesra dengan panggilan Ayu menceritakan bagaimana detik awal mengetahui hamil kembar buat kali kedua.

“Kali pertama scan sewaktu kandungan berusia 4 bulan. Waktu itu sangat berdebar-debar. Hanya terlintas di hati untuk mengetahui jantina kandungan sahaja, tetapi kejutan lain yang saya dapat apabila doktor mengesahkan terdapat dua janin dalam kandungan saya.

Saya dan suami sangat terkejut dan terharu kerana tidak menyangka dikurniakan kembar buat kali kedua. Pada mulanya saya dan suami tidak mahu sebarkan kegembiraan ini kepada sesiapa kecuali adik perempuan kerana mahu memberi kejutan kepada ahli keluarga. Namun perasaan gembira tidak dapat dibendung lama dan terpaksa juga sebarkan.

Lucunya, ada segelintir daripada ahli keluarga (suami dan saya) serta rakan-rakan tidak percaya akan hal ini. Mereka ingat kami bergurau. Setelah melihat sendiri salinan keputusan kehamilan imbasan yang dikeluarkan oleh klinik swata, baharulah mereka dapat menerima kenyataan,” demikian ceritanya.

Dua Pengalaman Berbeza
Ibu kepada Mohammad Haikal,10, Siti Alia Sofiya,9, Daniel Aminuddin,9, Asyraf Rais dan Amsyar Rais, setahun dua bulan ini mengaku kehamilan kedua pasang anaknya berbeza-beza.

Pengalaman sewaktu hamil kembar pertama tidak banyak alahan dan hanya mengalami pening kepala di peringkat awal. Tetapi kehamilan kembar kedua, Ayu mengalami alahan yang agak teruk seperti tidak boleh bau masakan, sehingga usia kandungan mencecah empat bulan. Kemudian baharulah keadaan kembali normal.

“Pada kehamilan pertama juga saya suka bersiar-siar dan tiada masalah dari segi kesihatan berbanding kehamilan kedua, saya mudah penat dan memerlukan rehat yang secukupnya,” ujarnya berkongsi pengalaman.\

Dua kali mengandung anak kembar bukan semestinya ibu melalui pengalaman yang sama. Bahkan pengalaman bersalin ibu juga berbeza.

“Pengalaman bersalin kembar pertama cukup senang. Saya hanya mengalami sakit perut bersalin biasa seperti orang lain juga tanpa mengalami kontraksi yang teruk. Saya mengalami sakit perut pada pukul 10 pagi dan selamat melahirkan kembar pertama pada pukul 12.30 tengah hari pada tanggal 8 Ogos 2003 secara normal dengan berat bayi 2.2 kg dan 2.1 kg.

Berbeza dengan kembar kedua, saya mengalami pecah air ketuban pada sebelah malam 27 Oktober 2010 dan dihantar ke Hospital Serdang dan selamat bersalin pada pukul 6.38 petang keesokkan harinya iaitu 28 Oktober 2010 secara normal dengan berat bayi 2.13 kg dan 2.27 kg.

Saya melahirkan kembar pertama di Hospital Sultanah Nur Zahirah,Kuala Terengganu kerana tidak mempunyai pengalaman, lagipun jarak anak sulung sangat dekat.

Oleh itu saya mengambil keputusan untuk bersalin di kampung. Manakala kembar kedua, kami sepakat untuk bersalin di Hospital Serdang yang terletak berdekatan dengan rumah. Anak sulung dan kembar pertama masih bersekolah ketika itu.”

Corat Coret Si Kembar
Persiapan menanti kelahiran anak kedua dilakukan secara sederhana sahaja. Katanya persiapan yang dilakukan menyambut kelahiran Asyraf dan Amsyar tidak istimewa sangat.

Bukan kerana membeza-bezakan mereka sebagai pasangan kembar kedua dalam keluarga tetapi kerana banyak lagi kelengkapan pakaian kembar pertama masih lagi boleh digunakan.

Ayu hanya menambah beberapa kelengkapan yang lain seperti set bersalin, tilam bayi, dan ada di antaranya diberikan oleh kakak ipar. Persiapan dari segi mental pula, Ayu bersyukur kerana suami dapat mengurangkan kerja luar daerah sebaliknya menumpukan kepada dirinya di saat menanti kelahiran.

Ayu yang tidak bekerja sejak mendapat anak kembar pertama turut memberitahu penjagaan anak-anak kembar tidak banyak masalah sebenarnya.

Sebagai suri rumah sepenuh masa yang tidak menggunakan mana-mana bantuan pembantu rumah dan ahli keluarga lain, Ayu dapat menguruskan dan mengawal mereka dengan mudah kerana menjaga anak kembar memerlukan perhatian dan masa yang lebih.

Ibu bersemangat ini turut bersyukur kerana anak-anak yang sudah besar juga ringan tulang menjaga adik-adik mereka sewaktu ketiadaan abahnya ketika kerja luar daerah mahupun ketika dia mahu ke kedai seketika.

Kembar pertama Sofia dan Amin sudah bersekolah di darjah tiga. Keduanya merupakan anak-anak yang aktif dan cergas walaupun kerap bergaduh sesama mereka. Kembar kedua pula semakin aktif membesar tetapi si adik Amsyar lebih aktif berbanding abangnya Asyraf.

Perkembangan mereka yang sangat baik dan memberangsangkan walaupun kadang kala melalui lumrah kehidupan kanak-kanak meningkat dewasa seperti demam, selesema dan batuk.

Kelebihan Ada Anak Kembar
Menceritakan karektor dua pasang anak kembarnya, selaku ibu, Ayu dapat membuat kesimpulan bahawa anak-anak kembar mempunyai karektor yang berbeza semakin mereka membesar.

“Kembar sepasang, sudah pastinya mempunyai karektor yang berbeza antara satu sama lain. Amin lebih pendiam berbanding Sofia yang lebih suka berceloteh. Mereka berkongsi minat yang sama iaitu suka melukis. Mereka berdua juga sangat prihatin jika salah seorang daripada mereka sakit.

Manakala pasangan kembar kedua, kini saya nampak ada ciri-ciri persamaan dari segi kemahuan, bila sakit pun serentak, namun saya tidak tahu apakah persamaan sifat ini akan berkekalan atau akan berubah suatu hari nanti,” beritahu Ayu lagi.

Bercerita tentang pemilihan pakaian pula, Ayu memang gemar memakaikan pakaian yang sama sejak anak-anak kembarnya kecil lagi biarpun berlainan jantina.

Tetapi katanya semakin mereka besar, citarasa mereka turut berubah. Pasangan kembar lebih suka memilih dan menentukan sendiri fesyen pakaian, kasut, beg dan sebagainya.

Manakala bagi kembar kedua yang tidak pandai memilih lagi, si ibu lebih suka memakaikan baju yang sama rekaan dan warna kerana kedua-duanya lelaki dan tidak sukar untuk memilih pakaian untuk mereka.

Jika orang lain berpendapat betapa seronoknya suami isteri yang dikurniakan anak kembar, ia diakui oleh Ayu yang berpendapat memiliki anak kembar dapat menjimatkan masa.

“Kini saya memiliki lima orang cahaya mata dengan tiga kali proses bersalin. Apabila berada di tempat awam, anak-anak selalu menjadi perhatian. Selain itu, dapat dirasakan rezeki kami sekelurga tidak berkurangan meskipun ada penambahan bilangan ahli keluarga.

Kami sangat bersyukur dikurniakan kembar dua kali dan kembar inilah yang membuka hobi saya berkecimpung ke dalam laman sosial facebook dan dapat mengenali lebih ramai lagi pasangan kembar dengan menyertai Kelab Kembar Malaysia meskipun kelab ini baharu di peringkat penubuhan,” kongsinya gembira.