Gagal hamil selepas beberapa bulan mendirikan rumah tangga sering merisaukan pasangan suami isteri. Ramai cuba berubat dengan cara moden namun masih tidak berjaya. Akibatnya, mereka buntu dan putus harap. Kepada yang berkenaan, ada alternatif.
Jangan mudah berputus asa dan teruslah berusaha. Jika tidak berjaya dengan kaedah moden, beralihlah ke cara tradisional. Yang pentingnya kesungguhan dan keyakinan selain daripada berdoa meminta keizinan Allah SWT. Hal ini diakui oleh Pn. Safi Abdul Rahman, 32, seorang pengamal perubatan tradisional merangkap juru urut tradisional dari Malswisse Centre. Menurut Safi, kaedah rawatan yang diamalkannya menggunakan urutan dan ubatan herba. Biasanya, wanita yang ada masalah untuk hamil akan diurut terlebih dahulu bagi mengenal pasti masalah sebenar yang dihadapinya.
Dengan mengurut, beliau dapat tahu punca sebenar mengapa seseorang wanita itu sukar hamil. Antaranya masalah kesihatan yang berpotensi menjadi penghalang kehamilan ialah tiroid, keputihan dan ketidaknormalan pada bahagian peranakan. Bagi mereka yang ada masalah seperti yang disebutkan tadi, rawatan terhadapnya perlulah diberikan terlebih dahulu sebelum memulakan sesi rawatan untuk hamil. Hal ini penting bagi menjamin keberkesanan rawatan yang bakal dijalankan.
Masalah Keputihan
Safi memberitahu bahawa sekiranya seseorang wanita itu tidak ada masalah kesihatan yang lain, lazimnya, dengan tiga kali urutan sahaja, mereka sudah boleh hamil. Walau bagaimanapun, beliau tidak menafikan bahawa ada di antara wanita yang mendapatkan khidmatnya masih belum hamil walaupun sudah dua tahun menjalani rawatan.
Bagi wanita yang ingin mendapatkan rawatan tradisional yang diamalkan Safi, dia mestilah datang mendapatkan urutan pada hari pertama habis haid dan ketika itu belum bersama suami. Menurut beliau, pada waktu itu rahim berada dalam keadaan bersih. Jadi, inilah masa yang sesuai untuk diurut. Urutan akan difokuskan pada bahagian peranakan. Sekiranya semasa diurut, didapati rahim wanita tersebut banyak cecair, terlalu kering atau ada keputihan, masalah tersebut perlulah dirawat terlebih dahulu bagi memudahkan proses kehamilan. Biasanya bagi masalah keputihan, wanita itu akan diberi makan jamu terlebih dahulu dan kemudian akan diberi pencuci faraj kerana kuman yang menyebabkan masalah keputihan boleh mengganggu proses kehamilan.
Semasa menjalani rawatan pula, wanita berkenaan perlulah makan mengikut saranan piramid pemakanan. Mereka perlu banyakkan makan buah-buahan dan sayur-sayuran. Safi mencadangkan agar mereka mengambil tujuh buah-buahan dan sayur-sayuran berlainan warna setiap hari sepanjang tempoh rawatan. Pada masa yang sama, mereka juga digalakkan makan madu dan susu kambing. Katanya, susu kambing boleh menyeimbangkan hormon dalam badan seterusnya memudahkan penyerapan vitamin lain seperti vitamin E.
Sebelum Subuh
Selepas diurut, keesokan paginya, disarankan agar meminum air ibu kunyit (sebesar ibu jari) yang dicampurkan dengan sedikit garam. Gunakan air mineral untuk membuat bancuhan ibu kunyit dan bukan air paip atau air lain. Amalkan meminum air ibu kunyit ini selama tiga hari berturut-turut jika masih belum bersama suami. Tetapi, sekiranya sudah bersama suami, pengambilan air ibu kunyit perlulah dihentikan. Untuk pengetahuan, kunyit sangat baik untuk sistem peranakan seseorang wanita itu. Walau bagaimanapun, pengambilannya tidak boleh berlebihan kerana akan menjejaskan kesihatan organ peranakan.
Tambah Safi lagi, untuk meningkatkan potensi kehamilan, pasangan suami isteri dicadangkan agar mengadakan hubungan kelamin pada hari-hari tertentu. Misalnya pada hari subur. Hari subur ialah hari ke-14 selepas hari pertama datang haid. Ketika inilah rahim berada dalam keadaan subur. Waktu yang digalakkan bersama ialah di antara hari ke-12 (yang dikira bermula dari hari pertama haid) hinggalah hari ke-16. Hal ini kerana pada hari ke-14, telur mula dikeluarkan. Maknanya, semasa telur dikeluarkan, sperma sudah sedia ada untuk bersenyawa. Untuk pengetahuan, sperma boleh bertahan di antara 24 hingga 48 jam.
Waktu yang digalakkan bersama ialah pada waktu pagi sebelum subuh sebab ketika ini tubuh berada dalam keadaan terbaik dan sedang berada dalam keadaan rehat. Air mani ketika ini juga pekat. Suasana hening dan tenang turut menjadi faktor penyumbang untuk memudahkan proses kehamilan.
Solat Hajat
Ketika sedang berusaha mendapatkan anak, seseorang wanita itu mestilah mengelakkan melakukan senaman untuk perut seperti sit-up. Manakala senaman yang sangat digalakkan ialah berjalan. Kesemua rutin yang disebutkan tadi perlulah diteruskan sehingga berjaya hamil.
Pasangan suami isteri yang sedang berusaha untuk menimang cahaya mata disarankan agar fokus pada satu kaedah rawatan sahaja dalam satu-satu masa agar tidak berlaku pertembungan kaedah rawatan. Maksudnya, jika memilih cara moden, teruskan sehingga tamat rawatan.
Begitu jugalah jika memilih cara tradisional, ikutlah prosedurnya sehingga selesai. Tetapi, jika pasangan tersebut masih ingin menjalani kedua-dua rawatan sekali gus, perlulah diberitahu kepada doktor dan pengamal perubatan tradisional yang memberikan rawatan agar mereka tahu apa yang perlu dilakukan supaya tidak ada pertembungan kaedah rawatan. Selain itu, pasangan suami isteri tersebut juga digalakkan mengamalkan solat hajat dan doa nabi Zakaria.
Kata Safi, tempoh rawatan bergantung pada individu itu sendiri. Ada yang tiga kali suci sudah boleh hamil terutamanya bagi wanita yang tidak ada masalah peranakan yang kronik. Tetapi jika ada masalah seperti stres, wanita tersebut mungkin lambat hamil.
Tambah beliau, pada masa yang sama, gaya hidup pun kena jaga. Tidak dinafikan bahawa ada yang perlu menunggu sehingga setahun baru berjaya hamil dan ada juga langsung tidak menjadi. Tetapi, itu semua bergantung pada diri sendiri. Berdasarkan pengalamannya sebagai juru urut, kejayaan seseorang wanita itu hamil bergantung pada dua faktor utama iaitu rawatan yang diberikan dan keizinan Allah SWT. Sepanjang memberikan rawatan kepada yang memerlukan sejak bertahun yang lalu, Safi memberitahu bahawa dalam 10 orang yang mendapatkan rawatan, 80 peratus insya-Allah berjaya hamil.
Kepada wanita-wanita di luar sana yang belum lagi dikurniakan zuriat, Safi nasihatkan agar jangan berputus asa dan jangan stres. Jangan fikirkan sangat tentang masalah yang dihadapi. Cekalkan hati. Tujuan hidup berkahwin bukan hanya untuk dapatkan zuriat. Ada banyak benda lain yang perlu dilakukan. Yang pentingnya dapatkan rawatan sama ada cara tradisional ataupun moden. Tetapi, jangan sesekali lakukan rawatan sendiri kerana dikhuatiri akan memudaratkan diri sendiri. Jika mengambil ubatan herba atau jamu, pastikan kebersihannya terjamin agar tidak timbul penyakit lain pula.
Kaedah Alternatif Rangsang Kehamilan
Tarikh:

