Loceng pagar ditekan. Tidak lama kemudian, pintu pagar automatik dibuka. Jelas menunjukkan bahawa bukan sembarangan orang boleh memasuki kawasan ini. Ciri-ciri keselamatan inilah yang mesti ada pada setiap taska atau tadika. Tidak perlu pagar automatik (jika tiada bajet), cukup sekadar pastikan ia sentiasa berkunci atau bermangga untuk mengelak ‘tetamu tidak diundang’ datang yang boleh membahayakan keselamatan kanak-kanak.

Melihat kepada ruang, taska ini mempunyai ruang persekitaran yang luas untuk kanak-kanak bergerak aktif. Ruang taska yang terbuka ini membolehkan sistem pengudaraan mengalir dengan baik. Lebih menarik lagi, susun atur taska ini begitu kreatif dengan disulami pemilihan warna-warni yang menghiasi dinding taska ini. Selain itu, ruang berasingan disediakan mengikut peringkat usia kanak-kanak menjadikan taska ini lebih sistematik.

Justeru, bangunan bersaiz besar dan luas ini membuatkan hati penulis tertarik dengan konsep yang diadaptasikan oleh pemilik taska ini. Itulah Taska Alamria Kids, Presint 9, Putrajaya yang dimiliki oleh Saida Abu Bakar serta dibantu suaminya yang merangkap sebagai pengurus operasi.

Dengan motto ‘Play! Learn! Grow!’, di taska ini pengasuh dan kanak-kanak saling berinteraksi di antara satu sama lain dengan cara mengenali karakter seseorang, bermain bersama dan secara tidak langsung kanak-kanak dapat belajar dan seterusnya membesar bersama-sama dengan rakan-rakan dengan persekitaran yang kondusif.

Menurut ibu muda yang berusia 30 tahun ini, pelbagai aktiviti yang di lakukan setiap hari untuk menarik minat kanak-kanak untuk datang ke taska. Semua aktiviti yang dijalankan adalah mengikut perkembangan menyeluruh (bahasa, fizikal, kognitif dan sosio-emosi)“

Kanak-kanak juga turut didedahkan dengan cara Multimedia Interaktif. Cara ini juga merupakan salah satu cara yang amat memberangsangkan minda kanak-kanak.

Para pengasuh juga turut menggunakan teknik dalam bilik darjah bagi kanak-kanak yang berumur 3 hingga 4 tahun. Mereka juga turut dilengkapi dengan pakaian seragam bagi memupuk semangat untuk suka belajar dan ke sekolah. Alhamdulillah, sambutan daripada ibu bapa sangat menggalakkan.

“Juga pembelajaran secara ulangan juga diterapkan kepada kanak-kanak agar mereka dapat menguasai semua pembelajaran yang telah di ajar oleh pengasuh. Pembelajaran juga adalah berbentuk dua hala di mana peluang turut diberikan kepada kanak-kanak untuk mencuba dan mereka juga turut memberi respons terhadap semua perkara yang telah di ajar,”jelasnya

Pembelajaran Menarik
Untuk menjadikan pembelajaran menjadi lebih menarik dan tidak membosankan, taska ini sentiasa memikirkan idea-idea baru untuk semua kanak-kanak. Aktiviti yang dijalankan haruslah pelbagai.

Kedudukan aktiviti juga tidak statik. Di taska ini pengasuh selalunya membuat aktiviti yang riang, senang diikuti dan dapat diingati oleh kanak-kanak. Contohnya menyanyi, menari, bercerita dan sebagainya.

Adakala pengasuh membuat mini senamrobik dengan kanak-kanak. Aktiviti akan dilakukan secara berkumpulan dan mereka juga turut membuat aktiviti kreatif. Contohnya mewarnai, menggunakan bahan kos rendah atau terbuang.

Di samping itu, kanak-kanak juga turut bermain di luar (kawasan permainan) supaya mereka dapat menghirup udara segar. Kanak-kanak sukakan aktiviti fizikal. Aktiviti ini secara tidak langsung dapat merangsang minda kanak-kanak.

Taska ini merupakan “one stop centre” bagi ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka . Perkhidmatan yang diberikan adalah untuk kanak-kanak yang berumur daripada 6 bulan sehingga 4 tahun. Manakala pembelajaran anak-anak boleh diteruskan dengan mendapatkan perkhidmatan menghantar anak-anak di Alamria Kids Academy apabila anak-anak mereka telah berumur 5 dan 6 tahun.