Ingin merancang menu untuk anak? Patuhi sahaja langkah-langkah mudah ini. 

1. 3 hidangan produk tenusu setiap hari

Ketika merancang, jangan lupa masukkan tiga kali hidangan produk tenusu setiap hari seperti susu segar, yogurt dan keju ke dalam menu anak anda. Hasilnya, dia pasti akan mendapat kalsium yang secukupnya untuk tumbesaran.

2. Piramid pemakanan

Rancanglah menu harian anak berdasarkan piramid pemakanan. Kepelbagaian kumpulan makanan dapat memberikan nutrien yang diperlukan oleh anak anda untuk membesar dengan sihat. Makanan beraneka jenis juga dapat mengelakkan anak rasa bosan terhadap makanan yang anda hidangkan kepadanya.

3. Rancang awal

Agar anda tidak tertanya-tanya dan pening kepala memikirkan tentang apakah menu yang ingin dihidangkan kepada anak setiap hari, buatlah perancangan awal. Cara ini juga akan dapat membantu anda mengelakkan pembaziran terutamanya ketika membeli barangan basah.

4. Fikirkan menu yang ringkas

Adalah satu kelebihan jika anda pandai mencipta menu yang ringkas tetapi berkhasiat. Lebih-lebih lagi jika anda seorang yang sentiasa sibuk.

5. Simpanan makanan yang cukup

Pastikan anda sentiasa menyimpan stok makanan yang cukup. Hal ini penting bagi memudahkan proses penyediaan makanan kelak. Walau bagaimanapun, pastikan stok  makanan yang disimpan itu berkhasiat.

6. Makanan seisi keluarga

Alangkah bagusnya jika seisi keluarga dapat menikmati makanan yang sama setiap kali tiba waktu makan. Dengan cara ini barulah anak kecil anda tidak rasa terpinggir kerana makanannya tidak sama dengan makanan orang lain. Jadi, ketika merancang menu untuk anak, carilah menu yang boleh dinikmati seisi keluarga.