Tentu ada di kalangan kita mempunyai anak-anak yang ada kelakuan negatif seperti cepat ‘naik tangan’ terhadap adik-beradik atau ibu bapa dan gemar menjerit apabila kehendaknya tidak dipenuhi. Bagaimana cara terbaik untuk menasihatikannya agar berkelakuan lebih baik dan bersopan? Ikuti kupasan lebih lanjut seterusnya.

Kesabaran papa dan mama ada kalanya teruji apabila berhadapan dengan kerenah si kecil terutama apabila di hadapan khalayak ramai. Sudah puas dinasihat, dimarah atau dipukul bagi tujuan memberitahu perbuatan tersebut salah namun si anak tetap tidak serik mengulangnya lagi.

Selain daripada belajar melalui buku atau guru di sekolah, kita juga belajar melalui pemerhatian. Tambahan lagi, belajar melalui pemerhatian atau pengalaman sendiri adalah lebih difahami dan berkesan berbanding method (cara) yang yang lain.

Biasanya orang yang paling dekat dengan kita akan menjadi sumber rujukan yang paling penting. Bagi kanak-kanak yang sedang membesar dan belajar, memahami persekitaran termasuk perlakuan manusia, ibu bapa adalah sumber yang paling utama.

Merujuk kepada teori psikologi barat iaitu modelling atau juga dikenali sebagai social learning theory oleh Albert Bandura, kanak-kanak belajar meniru perbuatan orang dewasa. Jadi ibu bapa sangat bertanggungjawab mencorakkan kehidupan anak-anak pada peringkat awal.

Dengan kata lain, ibu bapa bertanggungjawab menyediakan platform untuk anak belajar tentang kehidupan. Islam sendiri sudah menggariskan panduan cara-cara mendidik anak dengan betul dan berkesan. Bukti yang paling kuat adalah hadis yang mengatakan “anak itu dilahirkan sebagai fitrah, suci bersih umpama kain putih, ibu bapalah  yang mencorakkan anak-anak itu….”

Salah satu garis panduan yang diberikan oleh ilmuan Islam adalah didik anak-anak sejak mereka dalam rahim lagi. Ia termasuk menjaga perlakuan dan berfikiran positif. Maka anak-anak akan mengikut cara kita.

Namun, kadangkala, walaupun kita sudah menjaga anak kita dengan baik sejak dalam kandungan namun anak-anak masih tidak mendengar kata. Itu disebabkan pengaruh persekitaran pula. Mungkin pengaruh luaran lebih mempengaruhi berbanding ibu bapanya.

Biasanya kalau ibu bapa tidak rapat dengan anak-anak, maka anak-anak akan lebih terpengaruh dengan persekitaran luaran. Misalnya ibu yang sedang hamil anak kedua atau seterusnya telah mengabaikan anak dengan tidak sengaja.

Di samping itu, perlunya ibu bapa menjaga anak-anak yang semakin membesar dengan pelbagai kerenah membuatkan tidak dapat lari daripada rasa stres. Jadi sudah tentulah apabila kita sudah penat dan stres, maka cepatlah kita naik angin dan naik tangan. Justeru, tanpa disedari, perbuatan ini menjadi ikutan kepada anak. 

Semakin kerap papa atau mama naik tangan, semakin cepatlah dia naik tangan. Si kecil yang baru berusia dua hingga enam tahun, memang sangat suka meniru perbuatan orang. Selain itu, ia adalah suatu cara untuk menarik perhatian papa dan mama.

Mungkin sebelum ini dia sering mendapat perhatian. Jadi apabila, perhatian semakin kurang dan dia dapat merasakan kehadiran orang baru, maka sebab itulah dia mudah baran dan naik tangan.

Jadi, ibu bapa perlu bersabar supaya tidak cepat naik tangan juga. Gunakan reverse psychology untuk menangani anak yang panas baran. Contohnya, memberikan denda seperti tidak boleh bermain dengan barang permainannya sehingga dia berkelakuan baik. Tetapi, anda perlu konsisten dengan cara ini sehingga anak-anak faham cara didikan.

Sekiranya hanya sekali-sekala maka susahlah untuk membentuk mereka. Terangkan kepadanya kenapa anda berbuat demikian. Di samping itu ibu bapa perlu panjatkan doa pada Allah agar anak-anak menjadi anak yang mendengar kata.

Tahukah anda

Rasulullah mendidik anaknya dengan cara bersikap adil dan tidak pilih kasih.

Sikap pilih kasih dan tidak berlaku adil kepada anak-anak terutamanya yang masih kecil dan banyak kehendak, boleh jadi mengakibatkan tekanan dalaman, seterusnya protes dalam diri anak itu. Hubungan kekeluargaan bukanlah satu pertandingan yang perlu ada pemenang.