Bukan mudah hendak menyuruh anak kecil makan. Kanak-kanak amat suka kepada perkara yang menarik dan dekat dengan mereka. Karektor kartun, warna-warni dan lucu antara yang dekat dengan rutin harian mereka.

Untuk memastikan anak-anak mendapat khasiat yang sewajarnya bagi membantu tumbesaran fizikal dan mental yang sihat, papa dan mama perlu memujuk mereka mengambil hidangan.

Jika anak dalam kategori sukar makan atau memilih makanan yang dihidang, mereka berkemungkinan akan menghadapi masalah kurang nutrisi serta berisiko mendapat masalah kesihatan lain.

Jadi, papa dan mama perlu kreatif dan bijak memastikan anak-anak mendapat khasiat makanan untuk mereka. Cubalah beberapa panduan berikut, mana tahu anda dapat memikat hati si manja untuk suka makan.

1. Sediakan hidangan makanan yang dihias menarik dan warna-warni.

2. Berkreatiflah ketika menghidangkan makanan. Misalnya buat bentuk karektor kartun yang mereka minati menggunakan bahan-bahan makanan tersebut. Anda boleh mencari pelbagai idea kreatif hidangan makanan kanak-kanak di pelbagai laman web.

3. Mempelbagaikan kaedah memasak seperti panggang, kukus, bakar, goreng dan sebagainya yang boleh membangkitkan bermacam-macam rasa, bau dan rupa yang menarik.

4. Ajak anak menyediakan hidangan bersama-sama agar mereka teruja untuk mencuba hidangan tersebut.

5. Gunakan sos untuk menyembunyikan rasa yang mungkin tidak digemari anak anda.

6. Anda boleh mencuba makanan yang disediakan di hadapan anak dan tunjukkan ekspresi bahawa ia benar-benar sedap!

7. Potong makanan kepada bentuk yang kecil-kecil untuk memudahkan anak-anak memakan dan mengunyahnya.

8. Jika anak anda tidak suka makan sayur, olahkan makanan tersebut agar sayur tidak dapat dilihat oleh anak anda. Misalnya cincang halus sayur untuk hidangan sos spageti atau bergedil.

9. Penggunaan pinggan mangkuk yang menarik dengan karektor kartun dan berwarna-warni turut membantu mereka untuk menjamah hidangan yang disediakan.

10. Sediakan makanan pada suhu yang sesuai, tidak terlalu panas dan tidak pula terlalu sejuk.