Penekanan kepada perkembangan kecerdasan emosi (EQ) menjadi asas penerapan pendidikan kepada kanak-kanak di Tadika Bintang Pintar, Taman Kosas Ampang sejak beroperasi selama 8 tahun. Namun ini tidak bermakna mengabaikan kecerdasan intelek (IQ) mereka. Ini kerana dengan adanya EQ yang tinggi, secara semula jadi IQ mereka juga akan berkembang. Malah mereka yang mempunyai EQ yang tinggi mampu menyelesaikan masalah hidup berbanding IQ tinggi. Demikian dijelaskan oleh pengetua Tadika Bintang Pintar, Nur Sabrah Lokman.

Beliau menambah, “’Kepandaian IQ semata-mata belum menjamin kejayaan dalam hidup. Ada pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik dan lulus ijazah dengan kelas pertama tetapi apabila berjumpa selepas 10 tahun berkemungkinan dia masih bekerja di tempat yang sama dan tidak menunjukkan pencapaian yang cemerlang dalam kehidupannya.

“Manakala bagi kanak-kanak yang kurang baik dalam bidang akademik pula, berkemungkinan akan mempunyai pekerjaan yang baik dan mempunyai peluang yang cerah bagi kenaikan pangkat. Keadaan seperti inilah yang menarik saya untuk memupuk EQ kanak-kanak di tadika saya.

“EQ yang tinggi dapat membina ketahanan diri kanak-kanak dan berkemungkinan dapat menukar corak personaliti mereka daripada yang selalu gagal menjadi kanak-kanak yang tahan ujian dan dapat bersaing. Itu yang dipraktikkan pada kanak-kanak di tadika ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau mengakui usaha untuk menerapkan perkembangan EQ menghadapi pelbagai cabaran terutama daripada ibu bapa yang masih belum memahami keadaan ini.

Menurut Nur Sabrah, beliau tidak memaksa kanak-kanak untuk mempelajari sesuatu yang bukan pada tahap perkembangan mereka. Mereka perlu diajar mengikut kemampuan, tahap umur dan kesediaan mereka dalam mempelajari sesuatu. Kanak-kanak di peringkat prasekolah perlu diajar dengan menggunakan pendekatan pengajaran yang menyeronokkan seperti belajar sambil bermain,belajar dengan mendengar cerita dan belajar dengan melakukan sendiri aktiviti pembelajaran itu. Mereka juga perlu diberi peluang membuat penerokaan pada perkara-perkara yang hampir dan berkaitan dengan kehidupan mereka.

Sebelum mengakhiri perbualan, beliau berharap penerapan unsur-unsur kecerdasan emosi (EQ) dapat membentuk kanak-kanak menjadi individu yang boleh bergaul dengan baik sesama rakan dan orang dewasa. Beliau mengimpikan untuk melihat kanak-kanak yang diasuhnya membesar menjadi orang dewasa yang harmoni dan seimbang.

Untuk merealisasikan impian tersebut,sehingga kini beliau masih lagi menyambung pelajaran di dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak di salah sebuah kolej terletak di Damansara. Di samping itu, Nur Sabrah mendapat sokongan moral daripada ibu dan ayah yang tidak jemu-jemu memberi nasihat.