Mempunyai rasa hormat diri yang tinggi amat penting untuk mendidik seseorang kanak-kanak itu yakin pada dirinya dan apa jua yang dilakukan. Pastinya setiap ibu bapa inginkan anak yang mempunyai keyakinan diri tinggi.

Mempunyai anak yang bijak memang menjadi idaman kebanyakan ibu bapa. Oleh itu, ramai ibu bapa yang menumpukan banyak perhatian kepada perkembangan mental anak-anak mereka. Ada yang melatih anak membaca pada usia yang muda.

Mengenalkan mereka kepada ABC dan 123 secepat yang boleh. Semua ini tidak menjadi kesalahan,malah akan banyak membantu anak-anak kecil itu membesar dengan sihat, terutama bila perhatian juga diberi kepada perkembangan emosi,fizikal dan rohani anak-anak itu. Bagi ibu bapa yang bijak, mereka amat menyedari bahawa perkembangan mental yang sihat akan berlaku kepada anak-anak mereka jika mereka memastikan bahawa hormat diri anak mereka tumbuh dengan sihat.

Hormat diri adalah penentu utama perkembangan yang sihat pada mental dan fizikal anak-anak kecil. Yakin diri atau self esteem amat berkait dengan perkembangan emosi dan rohani. Bila emosi dan rohani anak itu berkembang dengan baik, maka mampu merangsang pertumbuhan hormat diri pada si kecil.

Persoalannya bagaimanakah kita boleh mengenali seseorang anak itu mempunyai hormat diri yang tinggi atau tidak? Terdapat beberapa karakter yang ditunjukkan oleh anak yang mempunyai hormat diri yang tinggi dan sebaliknya.

Anak-anak Yang Mempunyai Yakin Diri Yang Tinggi :
• Berasa bangga dengan kejayaan yang dicapai : “Lihat ibu, cantikkan lukisan yang saya lukis ini.”
• Berdikari : “Adik nak pakai baju sendiri.”
• Mengambil tanggung-jawab : “Biar adik tolong siramkan bunga”.
• Tidak mudah putus asa : “Oh, susahnya nak belajar hafal sifir, tak mengapa, adik tahu adik boleh buat.”
• Menghadapi cabaran baru dengan penuh semangat : “Seronoknya esok cikgu akan mengajar kita pelajaran baru.
• Berkeyakinan untuk mempengaruhi orang lain : “Mari saya tunjuk bagaimana nak main permainan baru ni.”
• Boleh menunjukkan emosi yang berbagai-bagai : “Adik seronok bila ayah balik”;dan “Adik sedih melihat kucing itu sakit.”

Anak-anak Yang Mempunyai Yakin Diri Yang Rendah :
• Mengelak keadaan yang mencabar : “Adik tak nak ke tadika hari ini, ada ujian susah”
• Tidak menghargai bakatnya : “Lukisan adik semuanya buruk”
• Merasakan orang lain tidak menghargainya : “Semua orang tidak mahu berkawan dengan adik”.
• Mudah dihasut dan dipengaruhi,“Adik tahu perbuatan itu salah tapi mereka mempengaruhi adik”.
• Mudah rasa tersinggung.
• Mudah mengalah, “Ah, susahnya nak buat benda ni, tak payah buat sajalah”.
• Susah menunjukkan emosi

Perasaan hormat diri ini boleh berubah-ubah mengikut keadaan. Namun, apa yang kita hendak lihat ialah corak yang selalu tertera. Anak-anak yang mempunyai hormat diri yang tinggi akan mempamerkan corak perangai yang berlainan dengan anak yang mempunyai hormat diri yang rendah.

Jangan sekali-kali memandang rendah kepentingan membina hormat diri ini. Tidak keterlaluan jika dikatakan hampir semuanya mempengaruhi kecerdasan si manja. Contohnya, kecekapan membaca, daya kreatif, kesungguhan, kebijaksanaan, keyakinan dan pelbagai lagi. Oleh itu, langkah yang bijak adalah mengambil langkah membina perasaan hormat diri yang tinggi di dalam anak-anak sejak mereka kecil lagi.