Anda bakal menimang cahaya mata baru? Awas! Jangan abaikan perasan anak-anak lain. Mungkin papa dan mama tidak perasan ada hati yang sedang terluka. Jadikan kegembiraan menanti orang baru dinikmati seisi keluarga.

Kebiasannya anak-anak akan menunjukkan reaksi gembira dan teruja apabila diberitahu akan mendapat adik baru. Namun demikian reaksi mereka tidak selari dengan perbuatan tatkala adik sudah lahir ke dunia.

Tingkah laku dan perangai anak-anak terutama yang berusia di bawah enam tahun akan berubah apabila sudah mendapat adik. Menurut penyelidikan pakar psikologi, kanak-kanak berasa sakit hati kepada adiknya kerana pelbagai sebab.

1.      Merasakan kehadiran adik sebagai pesaing dalam mendapatkan perhatian ibu bapa.

2.      Melihat ibu bapa meluangkan banyak masa melayan adik baru.

3.      Anak yang tua berasa dirinya telah diabaikan dan dipinggirkan.

Ekoran itu, mereka cuba mendapatkan kembali perhatian yang dirasakan hilang dengan berbuat nakal dan akhirnya mendapat perhatian negatif daripada ibu bapa, atau bertindak sedih untuk menimbulkan perasaan belas kasihan dan mendapat pujukan serta simpati.

Situasi ini berlaku di kalangan anak-anak yang sudah tahu  bagaimana untuk menunjukkan emosi mereka. Kehadiran bayi baru membuatkan dia rasa tergugat sehingga menunjukkan pergolakan emosi.

Rasa tidak selesa itu membuatkan dia ada kalanya bersikap ganas terhadap si adik. Sebenarnya ibu bapa boleh menangani masalah ini dengan beberapa kaedah sekali gus memberitahu anak bahawa dirinya tetap disayangi seperti dulu.

A.     Pupuk sikap tanggungjawab

Kanak-kanak akan berasa dirinya bertanggungjawab apabila disuruh menjaga adik. Berikan tugas-tugas mudah yang melibatkan dirinya dalam urusan penjagaan adik seperti mengambil pakaian adik, memujuk adik yang menangis dan sebagainya.

B.      Masa bersama

Walaupun anda sibuk dan penat menguruskan si kecil yang baru lahir, jangan sesekali meminggirkan anak yang lebih tua atau mengherdiknya ketika dia bertanya itu dan ini. Luangkan sekurang-kurangnya satu jam sehari masa bermain dan melayani dirinya. Ketika itu terangkan kepadanya bahawa anda tetap sayang akan dia dan dia tetap ‘orang penting’ dalam keluarga.

C.      Minta pendapat

Walaupun masih kecil, kanak-kanak tetap mempunyai perasaan. Justeru cuba tanya pendapatnya tentang perkara-perkara kecil mengenai si adik. Misalnya tanya berkenaan warna pilihan yang sesuai untuk pakaian adik pada hari tersebut. Kemudian pujilah bahawa pilihannya memang tepat. Tentu dia akan berasa bangga kerana pendapatnya dihargai.

D.     Belajar menyayangi

Kanak-kanak belajar daripada pemerhatian. Oleh itu tunjukkan kepadanya bagaimana cara menyayangi adik yang masih kecil. Ketika anda mendukung dan mencium bayi, cakaplah “abang sayang adik juga kan” sambil menyuruh si abang mencium adik. Dia tidak rasa tergugat dengan kehadiran adik sebaliknya lebih gembira kerana sudah ada kawan.

E.      Pujian

Kanak-kanak suka dipuji. Mungkin perbuatannya sangat kecil dan biasa bagi orang dewasa tetapi ia meninggalkan kesan mendalam kepada psikologi kanak-kanak. Jadi, jika dia berkelakuan baik, berilah kata-kata pujian atau ganjaran yang sewajarnya. Kanak-kanak akan mengulangi tingkah laku baik setelah mendapat pujian dan ganjaran daripada ibu bapa.