Kemahiran mengira atau matematik bermula dari detik pertama apabila si kecil praformal mula mengenal nombor. Kemahiran ini yang digelar asas nombor kelak akan membantu kanak-kanak memahami hubung kait di antara nombor yang menjadi asas kepada kemahiran mengira lebih kompleks seperti tambah, tolak, darab dan bahagi.

Asas nombor bermula dari rumah dan kemudiannya ia berkembang sejajar dengan usia kanak-kanak di institusi prasekolah seperti di taska dan kemudiannya di tadika. Walaupun asas nombor sebenarnya dapat dikuasai secara bersendirian oleh seorang anak kecil pada usia praformal namun ia masih perlu didorong dan disokong oleh ibu bapa dan pendidik prasekolah.

Asas nombor yang kukuh sudah tentu akan menjadi aset kepada kanak-kanak yang perlu memahami konsep mengira yang lebih kompleks seperti pecahan, nombor perpuluhan, nilai negatif dan sebagainya. Rata-rata mereka yang menjadi pakar matematik mengakui bahawa pengalaman positif yang mereka timba sedari kecil banyak membantu hingga timbulnya rasa cinta mereka kepada bidang ini.

Pada masa yang sama, kegagalan menguasai asas nombor dengan baik atau mengambil masa terlalu lama untuk menguasainya mungkin akan menimbulkan benci dalam diri kanak-kanak terhadap kemahiran mengira. Hal ini tentunya akan merugikan mereka oleh kerana kemahiran
mengira adalah salah satu kemahiran teras yang perlu dikuasai di sekolah rendah kelak.

Bulan ini dan bulan hadapan kita akan membincangkan asas nombor dan kemahiran mengira pada usia praformal dari 0-6 tahun, sekali gus menutup perbincangan kita tentang kemahiran 3M (membaca, menulis, mengira) yang perlu dikuasai oleh kanak-kanak sejak dari zaman prasekolah lagi.

Asas Nombor Dan Kemahiran Mengira Kanak-kanak Praformal
Hampir kesemua kanak-kanak berjaya menguasai asas nombor sebelum meninggalkan alam prasekolah. Lazimnya kanakkanak yang telah ke taska dan kemudiannya ke tadika akan berjaya mengenal dan mengira nombor 1 hingga ke 20 dengan cekap. Di samping itu mereka juga selalunya mampu melakukan perkiraan mudah seperti tolak dan tambah dan juga darab serta bahagi bergantung kepada pendedahan yang telah mereka terima daripada ibu bapa dan guru prasekolah mereka.

Saya gunakan perkataan ‘selalunya’ di sini kerana seperti yang selalu ditekankan dalam ruangan ini, proses perkembangan kanak-kanak praformal berlaku dalam tempoh masa yang berbeza. Maka tidak hairanlah jika ada anak kecil yang boleh melakukan operasi tambah dan tolak seawal usia empat tahun dan ada pula yang hanya mampu melakukan penambahan dan penolakan apabila mereka mencecah usia enam tahun!

Jadi, bagaimana caranya untuk memastikan bahawa anak kecil anda sedang menunjukkan kemajuan yang baik dalam asas nombor dan kemahiran mengira? Bagaimana pula caranya untuk mengesahkan bahawa si kecil anda itu sebenarnya tidak ketinggalan dalam asas nombor dan pengiraan berbanding rakan-rakan yang seusia dengannya?

Ujian persediaan prasekolah yang digunakan di beberapa buah negara maju meletakkan beberapa tahap perkembangan yang perlu dicapai oleh kanak-kanak praformal dalam asas nombor dan kemahiran mengira pada akhir tahun pertama mereka di tadika. Tahap perkembangan ini bolehlah diambil sebagai penanda aras kemajuan matematik oleh ibu bapa dan juga golongan pendidik prasekolah.

Tanda Aras Tinggi:
1. Mampu mengenal dan memahami secara asas turutan nombor 1 hingga 20 serta boleh menyebut nombor-nombor berkenaan secara lisan dengan betul dan cekap (semakin banyak nombor yang boleh dikira semakin tinggi kemajuan kanak-kanak berkenaan).
2.Sudah dapat mengenal hubung kait di antara nombor dan boleh melakukan operasi pengiraan yang mudah dengan betul dan cekap.

Tanda Aras Kritikal :
1.Sekurang-kurangnya dapat mengenal dan memahami secara asas turutan nombor 1 hingga 10 serta boleh menyebut nombor-nombor berkenaan secara lisan (semakin sedikit nombor yang dapat dikenal pasti, semakin rendah tahap kemajuan kanak-kanak itu).
2.Masih tidak dapat mengenal hubung kait di antara nombor dan tidak dapat melakukan operasi pengiraan mudah atau hanya sekadar meneka jawapan kepada operasi pengiraan.

Perlu ditekankan di sini bahawa ‘tahun pertama prasekolah’ membawa pengertian yang berbeza. Ada pendapat yang mengatakan bahawa ukuran tahap perkembangan di atas perlu dilakukan apabila kanak-kanak mencecah usia lima tahun dan ada pula pandangan yang mengatakan ukuran ini perlu dibuat sebelum mereka mencecah usia enam tahun.

Apa pun definisi yang diguna pakai oleh anda, tanda aras kritikal yang dinyatakan di atas perlu dicapai oleh kanak-kanak praformal sebelum mereka bersedia untuk melangkah ke alam sekolah rendah. Walau bagaimanapun pada usia tujuh tahun di sekolah rendah, guru matematik anak anda akan melakukan segala yang termampu untuk memastikan tanda aras kritikal ini sudah dapat dicapai.

Tahap Satu sekolah rendah (darjah satu, dua dan tiga) sebenarnya akan memberi pengukuhan yang diperlukan dalam kemahiran mengira. Akan tetapi, anak kecil anda pasti akan meraih faedah yang lebih besar jika dia sudah mendapat pendedahan dan sudah mahir tentang asas nombor sejak dari tadika lagi.

Pendedahan Awal Kepada Asas Nombor Dan Juga Kemahiran Mengira
Sejak usia berapakah kanak-kanak perlu didedahkan kepada asas nombor dan kemahiran mengira? Jawapan kepada soalan ini adalah seawal yang mungkin! Nombor adalah suatu konsep yang wujud di sekeliling kita dan kanak-kanak sedari usia bayi sudah didedahkan kepada konsep nombor. Yang perlu kita lakukan adalah membantu mereka menguasai konsep nombor secepat mungkin sebelum mereka mula belajar asas nombor dan operasi pengiraan mudah.

Setiap aktiviti yang dilakukan oleh bayi seawal usia setahun hingga usia di sekitar dua tahun lebih boleh dijadikan bahan dan rangsangan untuk konsep nombor. Malah, kita juga sebenarnya boleh mula mengajar kanak-kanak mengira pada usia itu! Usia 1-2 tahun adalah tahun-tahun awal yang penuh dengan penjelajahan dan pengalaman baru dalam dunia kanak-kanak. Sambil mereka menjelajah dan cuba menimba pengalaman baru, ada waktunya mereka akan ‘bertembung’ dengan konsep nombor dan asas pengiraan.

Inilah waktu di mana kita perlu memainkan peranan sebagai tutor kepada mereka dengan memperkenalkan sejauh mungkin asas nombor, mengikut kemampuan kanak-kanak berkenaan dan sejajar dengan tahap perkembangan kognitif mereka. Penyelidikan oleh pakar-pakar di Amerika Syarikat mendapati bahawa kanak-kanak yang menerima pendedahan awal dalam asas nombor dan kemahiran mengira lebih cekap ‘menangkap’ konsep matematik tahap tinggi yang lain.

Mereka diibaratkan sebagai kanak-kanak yang sudah mampu memanjat tangga-tangga ilmu matematik iaitu kemahiran mengira asas, operasi tambah, operasi tolak, operasi darab, dan sebagainya. Dengan asas yang kukuh dari awal usia praformal, kanak-kanak yang boleh mengenal nombor dengan betul dan cekap dipercayai akan cepat memahami topik matematik kompleks seperti algebra kerana pengalaman positif yang telah mereka terima pada usia 0-6 tahun.

Tambahan pula jika difikirkan secara logik, untuk memahami algebra dan rumusan matematik yang lebih kompleks seorang individu perlu memahami konsep-konsep asas yang lebih mudah terlebih dahulu. Kegagalan dalam topik matematik yang lebih mudah hampir pasti menjadi resipi kegagalan dalam topik yang lebih rumit pada masa hadapan!