Ramai wanita yang sudah melahirkan anak bimbang apabila mengalami masalah bahagian sulit ‘longgar’ dan kemutan yang tidak sehebat seperti malam pertama.

Masalah alat sulit longgar bukanlah sesuatu yang baru dalam kalangan kaum wanita. Ia sebenarnya perubahan hormon selepas melahirkan cahaya mata. Jika dibiarkan berlarutan, ia boleh menjejaskan keinginan seksual dan menimbulkan masalah dalam rumah tangga.

Semasa mengandung, saiz pelvik wanita membesar untuk menyokong proses kelahiran bayi.

Pembesaran tersebut membuatkan perubahan pada lantai pelvik seterusnya vagina wanita. Proses pelahiran yang berlaku turut menambahkan lagi perubahan tersebut.

Semasa melahirkan anak, dinding vagina dan otot yang menyokongnya akan diregangkan. Dalam sesetengah kes, di mana bayi bersaiz agak besar atau ia merupakan kelahiran pertama, dinding vagina dan pembukaan vagina akan terluka atau terkoyak.

Kelahiran bayi yang berulang kali akan mengembangkan salur vagina dan menjadikannya ruang sebenar. Pembukaan vagina boleh dipotong menggunakan scalpel atau pisau pembedahan semasa kelahiran bayi untuk mengelakkan kecederaan serius pada vagina.

Doktor akan melakukan episiotomi. Selepas episiotomi, luka akan dipulihkan melalui jahitan. Dengan penjagaan kebersihan diri dan ubat-ubatan, vagina akan kembali seperti sedia kala dalam beberapa hari.

Menurut Safi Abd Rahman, Pengamal perubatan tradisional, selepas itu setiap wanita perlu melakukan rawatan tertentu untuk mendapatkan kembali bahagian intim yang rapat.

Wanita perlu fokuskan kepada jenis rawatan, penjagaan pemakanan dan mengawal emosi kerana semuanya memainkan peranan penting untuk merapatkan kembali bahagian intim.

Rawatan
Ada pelbagai cara rawatan sama ada secara tradisional yang dilakukan sendiri di rumah atau pun melakukannya di salon dan spa. Antara rawatan yang disarankan adalah berurut, bertungku, bertangas, sauna, skrub dan senaman.

Skrub atau sentalan menggunakan bahan-bahan tertentu membantu membersihkan bahagian kelengkang yang berubah warna semasa hamil. Sementara rawatan sauna/tangas memberi kesan mengetatkan semula bahagian intim dan menghilangkan masalah bau atau keputihan.

Rawatan bertungku pula boleh menggunakan sama ada tungku batu, tungku herba atau tungku besi. Tungku herba yang terdiri daripada herba-herba seprti serai wangi, sirih, halia dan temu lawak dikatakan dapat memberikan khasiat lebih baik kepada bahagian sulit seperti mengetatkan dan menghilangkan keputihan.

Rawatan tradisional juga boleh dilakukan sendiri di rumah seperti mencuci bahagian sulit menggunakan air rebusan sirih selang sehari. Sirih dipercaya boleh mematikan bakteria yang menimbulkan kegatalan dan keputihan di bahagian intim wanita.

Selain rawatan tersebut, wanita perlu rajin mengamalkan senaman kegel. Semasa pantang, senaman kegel boleh membantu proses penyembuhan daripada luka episiotomi dengan lebih cepat, mengurangkan air kencing yang tidak terkawal dan menguatkan kembali otot-otot pelvik anda.

Bagaimana Untuk Membuat Senaman Kegel?
1. Kemutkan otot pelvik seperti anda mahu menahan air kencing.
2. Tahan selama 2-3 saat.
3. Lepaskan ia perlahan-lahan dan rehat.
4. Buat 25 kali tiga kali sehari tidak kira di mana anda berada.
5. Jangan kecutkan otot perut atau punggung semasa senaman ini.

Pemakanan Sihat
Makanan turut memainkan peranan penting dalam soal penjagaan bahagian intim. Makanan seimbang dan berkhasiat memberi kesan kepada bahagian tersebut.

Seeloknya wanita perlu menjaga pemakanan mereka dalam tempoh 100 hari selepas bersalin. Jika mengikut petua tradisional, makanan dalam kategori sejuk seperti timun, kobis, ais tidak boleh dimakan kerana ia memberi kesan tidak elok kepada otot bahagian pelvik seperti mudah kejang.

Amalan pemakanan ulam lengkuas atau dicampurkan dalam setiap hidangan makanan dipercaya boleh merapatkan semula peranakan (rahim) mereka selepas bersalin.

Khasiat biji manjakani telah diketahui umum baik untuk kesihatan wanita. Tannin yang terkandung dalam manjakani dikatakan mampu menegangkan semula otot-otot dalam faraj dan sekali gus merapatkan bahagian yang longgar dan kendur.Amalkan makan sebiji manjakani sekali dalam seminggu.

Selain menjaga pemakanan. Wanita perlu bijak mengawal emosi diri berhadapan dengan perubahan sebaik bergelar ibu. Apa pun anda tidak boleh sekali-kali mengenepikan tanggungjawab sebagai isteri terhadap suami tercinta.

Menurut Safi, pentingnya membina kembali hubungan intim bersama suami biar pun sibuk menguruskan bayi kecil.

“Biasanya wanita lupa kepada suami kerana sibuk memberi fokus kepada anak. Hubungan dengan suami adalah tanggungjawab dan kewajipan.”

Melakukan hubungan intim dengan suami selepas melahirkan anak mungkin sesuatu yang cuba dielakkan oleh sesetengah wanita terutama yang mengalami pengalaman pahit semasa bersalin.

Tetapi sebagai wanita muslim, kewajipan terhadap suami perlu dilunaskan asalkan diri sudah bebas daripada darah nifas dan badan telah sihat dan kuat.

Namun jika kedua pihak bersetuju untuk mengikut petua tradisional, digalakkan untuk melakukan hubungan intim selepas tempoh berpantang 40 hari bagi membolehkan otot-otot dan badan benar-benar bersedia dan bertenaga.

Tip
Sebelum tidur bersihkan bahagian intim daripada segala kotoran dan bau-bauan.
Pakai seluar dalam yang diperbuat daripada kain kapas semasa tidur.
Pakaian tidur yang seksi daripada fabrik satin atau renda hanya sesuai sewaktu membuat hubungan bersama suami sahaja tetapi tidak sesuai untuk waktu tidur yang panjang kerana ia tidak menyerap peluh. Ia boleh menimbulkan kesensitifan pada bahagian sulit.
Jika ada masalah bau atau keputihan, berjumpalah dengan doktor untuk mendapatkan ubat antibiotik bagi mematikan bakteria di bahagian sulit.
Digalakkan wanita mengambil suplemen seperti evening primrose oiil dan multivitamin sebagai menjana tenaga dan kesihatan.