Biar pun didiagnos menghidap kanser, anda masih boleh meneruskan kehamilan. Ikuti pandangan Dr. Fatima Najla dari Kelana Jaya Medical Centre berkaitan isu ini.

Sebagai seorang pakar, para O&G tidak mempunyai hak untuk memutuskan bagi pihak pesakit yang menghidap kanser untuk menggugurkan kandungannya. Apa jua keputusan yang bakal dibuat bergantung 100 peratus kepada pesakit sendiri. Apa yang boleh dilakukan oleh doktor ialah sekadar memberi nasihat. Malah, daripada kajian yang pernah dilakukan, menggugurkan kandungan tidak begitu bermanfaat dalam menghalang sel kanser daripada terus merebak di dalam tubuh pesakit.

Dalam pada itu, perlu ditegaskan bahawa apabila seseorang wanita didapati hamil dan pada masa ayang sama didiagnos menghidap kanser, dia perlu tahu bahawa kandungan dan kehamilannya bukanlah penyebab kanser. Kebetulan sahaja sewaktu dia hamil, dia mendapat kanser. Fakta menunjukkan wanita yang menghidap kanser sewaktu hamil sangat jarang berlaku iaitu hanya satu daripada 1000 kehamilan.

Terdapat enam jenis kanser yang biasa dihidap oleh pesakit yang mengandung. Ini termasuklah:

1. Payu dara.

2. Pangkal rahim.

3. Limfoma.

4. Tiriod.

5. Leukimia.

6. Malignant melanoma.

Di antara keenam-enam jenis kanser ini, kanser payu dara adalah yang paling biasa berlaku iaitu dalam kadar satu daripada 3000 kehamilan. Berdasarkan statistik, peringkat umur pesakit kanser yang pada masa sama hamil adalah dalam lingkungan 32 hingga 38 tahun. Walau pun kanser yang dihidap oleh pesakit hamil adalah sama seperti mereka yang tidak hamil, diagnosis terhadap golongan hamil agak lambat iaitu antara  lima hingga 15 bulan. Apabila diagnosis lambat, jadi tahap kanser lewat diketahui dan boleh menyebabkan prognosis tidak bagus. Namun, harus diingat tahap kanser yang dialami menjadi teruk bukan disebabkan oleh kehamilan!

Oleh kerana itulah, amat penting bagi semua wanita yang disahkan hamil untuk membuat pemeriksaan payu dara sama ada oleh doktor atau diri sendiri. Jika didapati ada sesuatu yang tidak normal, sebaik-baiknya dia perlulah menjalani ujian dan tidak perlu menunggu sehingga selamat melahirkan.

Seperti yang diketahui ramai, apa sahaja ujian yang membabitkan penggunakan x-ray tidak boleh dilakukan namun dalam keadaan ini, mamogram boleh dilakukan dengan syarat pelindung abdomen dipakai sewaktu ujian dijalankan. Walau bagaimana pun mamogram hanya dapat dilakukan selepas trimester pertama. Pun begitu, 25 peratus keputusan mamogram yang dilakukan ketika hamil biasanya negatif. Oleh kerana itulah, biopsi perlu dilakukan jika didapati ada benjolan luar biasa. Keputusan ujian berkenaan selamat, lebih jelas dan tepat.

Sehubungan itu, ujian-ujian lain seperti ultrasound breast dan magnetic resonance mimaging (MRI) turut disahkan selamat. Malah rawatan kimoterapi juga boleh diberi sewaktu mengandung tetapi hanya boleh dilakukan selepas minggu ke-12. Begitu juga halnya dengan pembedahan. Untuk makluman, apa sahaja ujian radioterapi hanya dapat dilakukan selepas pesakit selamat melahirkan.

Jenis kanser lain yang paling biasa dialami wanita ketika hamil ialah kenser pangkal rahim. Jika pesakit disahkan menghidap kanser jenis ini ketika hampir sembilan bulan kehamilan, rawatan biasanya ditangguhkan sehingga pesakit selamat melahirkan. Paling tidak pun, induksi akan diberi untuk mempercepatkan proses kelahiran. Namun, jika kanser dikesan di peringkat awal kehamilan, rawatan ditangguhkan dan pembedahan hanya akan dilakukan setelah bersalin bagi mengeluarkan rahim.

Bagi kanser-kanser jenis lain pula, konsepnya tetap sama. Apa-apa pun diagnosis perlu dilakukan untuk mengetahui tahap kanser. Rawatan pula akan diberi berdasarkan usia kandungan.

Diagnosis lambat

Oleh kerana simptom kanser sama seperti simptom kehamilan, jadi kebanyakan diagnosis yang dilakukan adalah terlambat. Begitu juga dengan prognosis. Doktor tidak dapat memberikan jawapan tepat tentang isu jangka hayat pesakit kerana masalah diagnosis yang terlambat.

Rawatan

Ibu yang menghidap kanser perlu menerima rawatan paling optimum. Dalam masa yang sama, doktor perlu memastikan rawatan yang diberi berisiko paling rendah untuk kandungan.

1. Kimoterapi

Rawatan ini perlu diberi hanya selepas minggu ke-12. Namun, kesan daripada rawatan ini akan menyebabkan ibu kerap loya dan muntah.  Disebabkan itu, ibu mungkin mengalami anemia atau kurang mineral hingga menjurus kepada risiko bayi dilahirkan kecil ataupun dilahirkan awal.

2. Radioterapi

Walau pun ada kajian yang menunjukkan rawatan ini selamat jika diberika dalam dos yang sangat rendah, kebanyakan doktor tidak menggalakkan pesakit diberi rawatan menngunakan radioterapi ketika hamil.

3. Pembedahan

Bagi penghidap kanser payu dara, pembedahan biasanya dilakukan dan ia selamat dan tidak menjejaskan kandungan.

Tahukah anda: 

Selepas disahkan bebas daripada kanser, pesakit boleh mengandung semula selepas tempoh dua tahun. Namun, kebiasaannya tahap kesuburan bekas pesakit kanser adalah kurang dan menyukarkan kehamilan.

Info

Selepas 12 minggu, plasenta sudah terbentuk. Ia menjadi penghalang  bagi ibu dan anak jika rawatan dilakukan.