Anak adalah amanah dari Allah SWT. Ibu bapa wajib mendidik amanah tersebut menjadi insan mulia mengikut jalan yang benar dan diredai. Namun lumrah seorang kanak-kanak yang semulajadi memiliki sifat-sifat nakal sepanjang perjalanan tumbesaran mereka kadang kala menguji kesabaran ibu dan ayah.

Jangan cepat melenting menghadapi kerenah anak-anak kerana sebagai seorang Muslim kita sebenarnya mempunyai penyelesaian yang boleh dijadikan amalan seharian. Berdoalah kerana doa itu senjata orang mukmin.

Dalam Islam kita disuruh berdoa untuk memohon apa yang dihajati. Doa juga memainkan peranan penting untuk memohon kesejahteraan dan kebahagiaan diri sendiri dan keluarga. Sebagai ibu bapa, kita perlu sentiasa mendoakan untuk kebaikan anak dan tidak mengatakan yang buruk-buruk kepada anak-anak kerana apa yang lahir dari mulut seorang ibu adalah satu doa.

  •  Doa untuk semua

Setelah semua usaha dilakukan untuk meminta sesuatu, kita diminta berdoa kepada Yang Maha Esa agar dimakbulkan apa yang telah diusahakan. Demikian yang harus kita lakukan sebagai ibu dan ayah kepada zuriat sendiri.

1. Amalkan membaca ‘Ya Latif’ sebanyak tujuh kali dan hembuskan di kepala anak sewaktu mereka sedang atau hendak tidur.

2. Untuk membantu anak mudah belajar dan menelaah pelajaran, baca zikir Ya-Latif sebanyak 129 kali diikuti surah as-Syura ayat 19 yang bermaksud:

“Allah itu lemah lembut kepada hamba-hambaNya: Ia mengurniakan kepada siapa yang dikehendaki. Padahal, Dialah Yang Kuat, Yang Gagah.”

Sebaiknya dibaca selepas subuh iaitu dibaca pada air untuk minuman dan masakan seisi keluarga.

3. Ketika memasak, sentiasa basahkan lidah dan bacakan doa Surah al- Imran ayat 200 yang bermaksud:

“ Hai orang-orang yang beriman! Sabarlah dan lawanlah sabar, dan bersedialah dan berbaktilah kepada Allah supaya kamu mendapat kejayaan.”

4. Diikuti pula dengan memperbanyakkan zikir Ya Hayyu, Ya Quyyum, Ya Latiff dan Ya Rahman berulang-ulang. Kesemua ini adalah doa pelembut hati.

5. Amalkan juga membaca Surah Toha ayat 1-8, Surah ar-Rahman ayat 1-4 dan surah al-Insyirah dibaca dalam aktiviti lain seperti semasa menemani anak mengulangkaji buku-buku dan membaca al-Quran.

6. Bagi ibu-ibu yang bercita-cita mendapat zuriat yang baik elok amalkan surah al-Imran ayat 38 iaitu doa nabi Zakaria a.s yang bermaksud:

“ Wahai Tuhanku! Berikan kepadaku dari pihak-Mu keturunan yang baik, kerana sesungguhnya Engkaulah pendengar doa.”

7. Kita juga digalakkan menyentuh dengan lembut ubun-ubun anak dengan tangan kanan sambil berdoa dan menyatakan harapan. Petua membaca doa dan harapan semasa anak baru lelap elok diamalkan apabila anak ada masalah emosi atau tingkah laku.

8. Selepas solat lima waktu, amalkan doa dari surah al-Furqan-74 yang bermaksud, “ Tuhan kami, Anugerahkanlah kami isteri-isteri dan keturunan kami yang menyenangkan hati, dan jadikan kami imam bagi orang yang bertakwa” dan surah Ibrahim ayat 40 yang bermaksud:

“ Wahai Tuhanku, Jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang menegakkan solat. Wahai Tuhanku! Kabulkanlah doa kami.”

9. Sebaik-baik memohon doa adalah di waktu tengah malam. Seringlah bangun sepertiga malam untuk mendirikan solat solat sunat dan mendoakan kesejahteraan keluarga. Sebutlah nama anak secara spesifik untuk doa lebih berkesan.

Jadikanlah doa antara teknik berkesan membentuk peribadi anak-anak.

Doa-doa amalan

Antara ayat Al-Quran yang boleh diamalkan:

  1. Saat anak-anak bergaduh - Baca surah al-Baqarah, ayat 102, yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
  2. Anak-anak pandai belajar – Baca surah al-Anbiyaa, ayat 79, yang bermaksud, “Maka Kami beri Nabi Sulaiman memahami hukum yang lebih tepat bagi masalah itu, dan masing-masing (dari mereka berdua) Kami berikan hikmah kebijaksanaan dan ilmu (yang banyak) dan Kami mudahkan gunung-ganang dan unggas memuji Kami bersama-sama dengan Nabi Daud dan adalah Kami berkuasa melakukan semuanya itu.”
  3. Anak-anak lembut hati dan elakkan panas baran – Baca Surah al-Anbiyaa, ayat 69, yang bermaksud, “Kami berfirman, hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim.”