Ramai kanak-kanak suka memilih makanan. Akibatnya, lebih banyak makanan yang ditolak berbanding dengan yang dimakan. Jika itu halnya, adakah kuantiti yang diambil itu mencukupi?

Sebenarnya, kuantiti makanan yang diambil oleh seseorang kanak-kanak berbeza dengan kanak-kanak yang lain. Harus diingat, kekurangan berat badan tidak bermaksud anak anda kurus. Sesetengah kanak-kanak, secara semula jadi bertubuh kecil, namun, mereka bukanlah kurang berat badan. Manakala kanak-kanak yang bertubuh agak besar sejak lahir tidak bermakna mereka cukup zat makanan. Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa kuantiti makanan yang diambil oleh seseorang kanak-kanak itu tidak melambangkan tahap kesihatannya. Sekiranya anak anda ada banyak tenaga dan tumbesarannya normal, dia sebenarnya sihat meskipun hanya makan sedikit. Tetapi, jika berat badan anak anda tidak naik dan dia seakan tidak sihat, sesuatu perlu dilakukan.

Umumnya, kanak-kanak perlu makan untuk membesar secara normal. Oleh yang demikian, ibu bapa tidak boleh memandang ringan jika tumbesaran anak tidak seperti yang digariskan. Memang tidak dapat dinafikan bahawa proses pemberian makanan kepada kanak-kanak berusia antara satu hingga enam tahun sangat mencabar. Namun, demi masa kesihatan dan masa depan anak-anak, ibu bapa perlu bersungguh-sungguh memastikan anak-anak mengambil hanya yang berkhasiat untuk keperluan tenaga dan nutrien anak sepanjang proses tumbesaran. Kekurangan berat badan bagi kanak-kanak tidak boleh dipandang ringan kerana banyak implikasinya seperti kecerdasan otak terjejas, pertumbuhan fizikal terganggu dan mudah diserang penyakit. Sekiranya hal ini terjadi kepada anak anda, bawalah dia berjumpa doktor untuk mengenal pasti masalah dan mencari jalan mengatasinya.

Jika anak anda enggan makan, berusahalah untuk mencipta suasana makan yang menceriakan. Pada masa yang sama, pelbagaikan menu dan cara sajian makanan untuk mereka. Harus diingat, kepelbagaian makanan yang disajikan perlulah mengutamakan vitamin dan zat agar tumbesaran tubuh dan perkembangan minda kanak-kanak tidak terjejas. Kuantiti makanan yang diambil anak anda biarpun sedikit tetapi mestilah berkhasiat. Ini lebih baik daripada makan banyak tetapi tidak berzat.

Tip Makanan Untuk Anak Kurus :

♦ Pastikan anak diberi pelbagai makanan mengikut saranan Piramid Pemakanan Malaysia. Jangan beri anak makan makanan yang rendah lemak.
♦ Makanan tinggi kalori sangat sesuai untuk meningkatkan berat badan ke tahap yang normal.Beri anak makanan sekurang-kurangnya 5 hingga 6 kali sehari.
♦ Bekalkan anak snek sihat seperti biskut lemak, buah-buahan kering, sandwic dan kekacang setiap kali dia ke sekolah. Rehatkan anak anda daripada sebarang aktiviti sekurang-kurangnya 15 minit sebelum waktu makan.
♦ Elakkan memberi anak anda makanan yang tinggi kandungan gulanya seperti makanan ringan dan minuman berkarbonat.

Panduan Menggalakkan Anak Makan :

♦ Beri anak makan dalam keadaan tenang dan bukan marahkan dia setiap kali dia enggan makan.
♦ Sediakan sendiri makan untuk anak dan bukan dibeli di restoran makanan segera atau di gerai-gerai yang belum tentu berkhasiat.
♦ Sesibuk mana pun anda, pastikan seisi keluarga makan bersama-sama setiap kali tiba waktu makan agar anak anda lebih berselera.
♦ Sekiranya anak anda masih kecil, ajaklah dia makan sambil bersiar-siar di taman permainan agar dia rasa lebih selesa.

Makanan Khas Untuk Anak Kurang Berat Badan :

♦ Nasi atau bubur perlulah ditambah dengan ayam atau daging dan minyak.
♦ Roti mestilah dihidangkan bersama mentega, keju dan mentega kacang.
♦ Biskut kraker mesti dimakan dengan marjerin dan mentega kacang.
♦ Susu kosong ditambah dengan serbuk coklat.
♦ Telur rebus dihidangkan bersama mayones, keju dan mentega.
♦ Kentang rebus dilenyek dan ditambah dengan susu dan mentega.

Kenapa Anak Tidak Mahu Makan?

♦ Bermasalah dengan gigi.
♦ Bosan dengan makanan yang diberikan.
♦ Terlalu banyak bermain.
♦ Tidak ada kawan untuk makan bersama-sama.
♦ Tidak berselera untuk makan.
♦ Ibu bapa terlalu memaksa mereka menghabiskan makanan.