Apabila seorang anak kecil praformal berjaya menguasai asas nombor dan juga kemahiran mengira lebih awal dari rakan sebayanya, si kecil itu akan lebih bersedia untuk memahami subjek matematik di sekolah rendah kelak. Dalam erti kata lain, kanak-kanak praformal yang sudah mula berjinak dengan nombor dan kemahiran mengira seawal usia dua atau tiga tahun akan memiliki kelebihan yang jelas apabila mereka mula mempelajari subjek matematik secara lebih formal dan teratur di tadika dan kemudiannya di sekolah rendah.


Ini kerana subjek matematik harus dikuasai secara bertahap yakni sebelum kanak-kanak boleh melakukan operasi tambah, tolak, darab, bahagi serta menggunakan formula matematik yang lebih kompleks - mereka perlu menguasai tahap yang lebih asas dahulu seperti konsep nombor dan juga kemahiran mengira.

Seperti yang sudah kita kupas bulan lepas, jika tahap asas ini tidak dapat dikuasai dengan elok maka ada kemungkinan si kecil anda akan sedikit lambat dalam proses pembelajaran matematik kelak. Hal ini pastinya merisaukan ibu serta bapa yang prihatin dengan kemajuan akademik anak mereka yang berusia di antara 0-6 tahun.


Pendidikan praformal yang sememangnya bersifat pendidikan persediaan atau pendidikan awal-mula (headstart education) boleh membantu anak anda di taska atau tadika untuk mula mengenal serta menyukai konsep nombor serta kemahiran mengira, apatah lagi jika si kecil itu mendapat dorongan dan sokongan secara terus-menerus daripada ahli keluarga mereka pula di dalam situasi rumah tangga. Berikut ialah beberapa cara praktikal untuk mengajar asas nombor dan mengira.

1. Bermain Dengan Nombor

Memberi ruang kepada kanak-kanak yang berusia di antara 0-6 tahun untuk ‘bermain’ dengan nombor agar mereka berasa selesa dan lebih bersedia untuk belajar mengira. Misalnya apabila anda ingin membuat panggilan telefon, minta si kecil untuk menekan butang di papan kekunci telefon bimbit anda.

Anda hanya perlu menunjukkan sahaja nombor yang perlu ditekan sambil membaca nombor berkenaan dengan jelas. Kanak-kanak yang berusia dalam lingkungan dua tahun khasnya akan mengajuk percakapan anda dan mereka juga boleh menekan butang yang betul jika diberi peluang.

Jika usaha mudah ini dilakukan setiap hari, tentu anak anda akan cepat ‘menangkap’ asas nombor dan dia sudah boleh mengenal nombor-nombor bermula dari angka ‘0’ hingga ‘9’. Tambahan pula cara ini mengambil pendekatan belajar melalui aktiviti bermain, maka sudah pasti kanak-kanak akan menyukainya dan pada waktu yang sama mereka akan didedahkan kepada konsep asas nombor dan kemahiran mengira.

Jika anda berasa risau atau takut jikalau si kecil anda merosakkan telefon bimbit atau telefon rumah anda, usaha praktikal yang sama boleh dilakukan dengan menggunakan alat kawalan jauh televisyen yang lebih besar dan juga agak lebih tahan jika dijatuhkan atau dilempar oleh kanak-kanak yang nakal.

Sambil anda menekan nombor pada alat kawalan jauh, sebutkan nombor yang ditekan dengan jelas agar si kecil akan berasa tertarik untuk ‘membantu’ anda sambil mempelajari tentang nombor. Untuk kanak-kanak yang sudah berumur lewat praformal pula (sekitar 5-6 tahun), mereka boleh dihadiahkan dengan mesin kira atau kalkulator yang boleh membantu mereka mengenal nombor dengan lebih cekap.


Untuk pasangan ibu bapa yang berkemampuan pula, sebuah komputer dengan papan kekunci bukan hanya akan dapat mengajar anak mereka tentang asas nombor tetapi ia juga akan mengukuhkan asas membaca dan menulis si kecil. Yang paling penting adalah kesedaran di pihak ibu bapa bahawa semua usaha ini walaupun kelihatan kecil dan tidak signifikan sebenarnya banyak membantu dalam proses pendidikan 3M anak mereka.

2. Bahan Permainan Berkonsep
Untuk ibu bapa yang mempunyai pendapatan lebih pula, terdapat banyak bahan permainan kanak-kanak yang berasaskan konsep nombor yang boleh mereka beli untuk anak mereka yang berusia di antara 0-6 tahun.

Yang menjadi kesukaran kelak bukanlah untuk mencari permainan berasaskan nombor yang boleh dibeli untuk anak kecil anda, tetapi anda pasti akan pening kepala dalam membuat pilihan kerana ada terlalu banyak permainan sedemikian di pasaran dewasa ini! Banyak pasangan ibu bapa hari ini yang mahukan permainan berasaskan nombor untuk anak mereka dan banyak pula syarikat permainan yang sedia memberi bantuan dengan produk mereka dengan ciri-ciri yang unik.


Walau bagaimanapun, jangan kita lupa bahawa yang perlu menguasai konsep nombor dan kemahiran mengira adalah kanak-kanak dan bukan pula ibu bapa mereka! Oleh itu, ibu bapa wajar mencari permainan yang mempunyai nilai pendidikan matematik yang baik sambil memastikan anak kecil mereka tertarik untuk bermain dengan produk berkenaan.


Ini kerana dalam memilih produk permainan yang mempunyai nilai pendidikan agak sukar untuk kita mencari sesuatu yang penuh dengan keseronokan di samping dalam mendidik kanak-kanak dengan baik.

Lazimnya permainan yang menyeronokkan tidak mempunyai nilai pendidikan yang tinggi dan begitulah sebaliknya jika permainan itu mempunyai nilai pendidikan yang tinggi, besar kemungkinan ia tidak menyeronokkan langsung atau terlalu cepat membosankan si kecil.

3. Kemahiran Geometrik

Melatih kemahiran melakar bentuk geometrik serta menulis nombor dengan aktiviti yang lebih berciri seni kreatif agar kanak-kanak tidak setakat menghafal nombor secara lisan tetapi tidak mampu menulisnya dengan cepat dan tepat.


Biar apa pun langkah yang diambil untuk melatih kemahiran si kecil untuk mengira, ibu bapa serta para pendidik prasekolah tidak boleh lupa bahawa pengenalan kepada nombor boleh berlaku melalui aktiviti seni dan kreatif. Malah, adalah tidak masuk akal jika seorang anak kecil cekap mengira nombor satu hingga sepuluh secara lisan tetapi dia langsung tidak tahu menulis nombor-nombor berkenaan di atas kertas.


Oleh sebab itu, kanak-kanak pada usia prafromal tetap perlu diberi ruang untuk melatih diri menulis nombor atau paling tidak, untuk meniru lakaran nombor yang telah dibuat oleh guru tadika mereka di atas papan putih. Hanya cara ini yang dapat memastikan kanak-kanak dapat mengenal asas nombor dan mereka boleh menulis nombor-nombor berkenaan dengan cepat dan tepat di atas kertas di dalam buka sekolah mereka.

Tidak cukup jika seorang anak kecil hanya setakat menghafal nombor secara lisan kerana operasi matematik yang lebih kompleks seperti tambah, tolak, darab dan bahagi lazimnya perlu dilakukan di atas kertas. Ini adalah realiti pendidikan berbentuk formal yang perlu kita terima terutama sekali apabila kanak-kanak mula melangkah ke alam sekolah rendah.